Wah! Blog ini sudah mencapai 1000 page views rupanya. Tidak sangka ada juga yang sudi melawat blog saya yang tidak seberapa ini. Terima kasih.
Semalam tidak sempat untuk saya update blog. Sibuk melayani karenah klien yang banyak pula permintaannya meskipun sudah diberitahu saya tidak punya banyak masa untuk memenuhi permintaannya kerana sedang menyiapkan projek lain. Beginilah bila bekerja secara freelance, tiada istilah 9-6, jika mahu banyak pulangan, masa yang diperuntukkan juga haruslah banyak. Tetapi sekurang-kurangnya penat lelah berbaloi kerana semua pulangannya masuk ke kantung kita. Syukur Alhamdulillah, sepanjang 3 bulan bercuti sakit, rezeki masih tidak putus. Masih ramai klien yang menghubungi menawarkan projek terjemahan, kadang-kadang hingga tidak menang tangan. Seperti klien yang satu ini, saya sudah menolak dengan baik, malahan menawarkan untuk mengesyorkan rakan yang lain untuk mengambil projek editing tersebut tetapi mereka bertegas mahu saya melakukannya. Hendak tak hendak terpaksa lah saya terima tetapi saya meminta masa yang panjang untuk menyiapkannya. Bila disiapkan dan dihantar, ada pula yang mereka mahu saya perbaiki dan sekarang mereka mengejar saya sedangkan masih terlalu banyak lagi yang perlu diteliti semula.
Pedulikan tentang klien tersebut, nafas sudah tercungap sejak dari malam tadi cuba mengejar deadline. Biarlah saya mengambil sedikit masa untuk mengemas kini blog dan memenuhi permintaan rakan baik saya yang inginkan resepi kerutuk daging.
Kerutuk Daging
Bahan A
1/2 kilo daging
1/2 paket rempah kerutuk Adabi
2-3 ulas bawang merah (ditumbuk)
1 cm halia (ditumbuk)
1/2 cm lengkuas (ditumbuk)
Bahan B
1/2 paket rempah kerutuk Adabi
3-4 ulas bawang merah (ditumbuk)
2 ulas bawang putih (ditumbuk)
1 cm kulit kayu manis
2-3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
2 batang serai (dititik)
2 sudu besar kerisik
2 cawan santan pekat
sedikit gula melaka
garam
air asam jawa
sedikit minyak masak
sedikit air
Cara-caranya:
- Bersihkan dan potong daging, kemudian perapkan bersama 1/2 paket rempah yang telah dicampurkan sedikit air dan bawang merah (Bahan A).
- Panaskan minyak kemudian tumiskan (Bhn B) kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang sehingga naik bau. Kemudian masukkan rempah kerutuk yang telah dibancuh bersama air asam jawa, bawang merah dan bawang putih. Tumis sehingga pecah minyak.
- Masukkan daging yang telah diperap dan biarkan seketika (sekiranya anda menggunakan daging import yang sedikit liat, masukkan sedikit air dan tutup periuk untuk mengempukkannya).
- Kemudian masukkan santan, biarkan sehingga mendidih dan masukkan serai, gula melaka, garam dan kerisik. Masak sehingga kuahnya pekat (Kepekatannya bergantung kepada kegemaran anda).
- Boleh dihidangkan bersama nasi putih atau nasi minyak. Juga sedap dicicah bersama roti
Selamat mencuba!
No comments:
Post a Comment