Saya masih ingat sewaktu saya bekerja di firma guaman di sekitar Pertama Complex, terdapat seorang pengemis tua yang sentiasa berlegar-legar di sekitar itu. Setiap hari saya melepasi pengemis tua itu dan memberikannya sedikit wang dan selepas itu berlalu pergi. Suatu hari saya tergerak hati untuk berbual-bual dengannya. Dia menceritakan serba sedikit kisah hidupnya.
Air matanya bergenang apabila dia bercerita tentang isterinya. Terlihat jelas di matanya kasih sayangnya yang tidak berbelah bagi terhadap isterinya. Saya cuba mengorek kisah anak-anaknya tetapi tidak mendapat sebarang jawapan, tidak pasti sama ada dia tidak memiliki anak ataupun anak-anaknya tidak mempedulikannya. Apabila saya bertanya ke mana dia menghilang setelah dua tiga hari saya tidak nampak kelibatnya, dia mengatakan dia sakit buah pinggang (jika tak silap saya), diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan dimasukkan ke hospital. Di akhir perbualan saya menghulurkan beberapa ringgit, dia mengucapkan terima kasih dgn air mata sedikit berlinang. Ketika itu hati saya terdetik yang terima kasih yang diucapkan itu bukanlah untuk wang saya hulurkan tetapi lebih kepada untuk masa yang saya luangkan bagi mendengar kisahnya.
Dan saat itu saya tersedar yang setiap orang mempunyai kisah. Kita cuma perlu mengambil beberapa saat dari masa kita untuk mendengar kisah mereka, kisah yang memberikan seribu satu pengajaran. Kisah pengemis tua itu mengajar saya erti kasih sayang, erti hormat. Sekiranya pengemis tua itu memiliki anak, saya berharap agar anaknya sedar dan membawa pengemis tua tersebut pulang untuk dijaga sebaik mungkin. Tetapi seandainya dia tidak memiliki anak, saya berharap agar seseorang berhenti seketika untuk mendengar kisahnya.
kalaulah masih ramai yg punya hati utk luang sedikit masa utk pengemis seperti ini. .
ReplyDelete