Nuffnang

Friday, July 20, 2012

Aku Menulis Bukan Kerana...

Sudah terlalu lama saya meninggalkan dunia penulisan. Semenjak saya bekerja, saya sudah lagi tidak aktif menulis puisi, cerpen ataupun novel. Masa seringkali menghambat saya. Saya cemburu bila mana ada rakan sekolah saya yang ini berjaya bergelar novelis yang diterbitkan novelnya.



Sejujurnya saya akui saya bukanlah orang yang berdisiplin. Saya menulis bila mana ada rasa untuk saya menulis. Saya tidak mampu untuk menjadi seperti beliau yang sangat berdisiplin dalam menulis. Mungkin kerana itulah beliau berjaya menulis sebuah buku bersifat ilmuan dalam masa yang singkat.

Begitu juga saya dalam penulisan blog. Saya menulis bila ada rasa untuk saya menulis. Kerana itulah saya berhenti menulis di blog lama saya dulu, kerana saya sudah tiada rasa untuk menulis. Namun apabila saya memberitahu saya sudah tidak ingin menulis lagi di blog lama saya, ada pembaca yang berselindung di sebalik nama yang tidak bernama mengatakan eloklah saya padamkan blog saya kerana saya bukannya ramai pembaca pun. Hakikatnya saya menulis bukanlah kerana saya perlukan pembaca yang ramai, saya menulis kerana saya ada rasa untuk menulis. Saya menulis hanyalah untuk mengutarakan pendapat, pandangan dan rasa yang terpendam di hati saya. Saya tidak menulis kerana saya ingin memberitahu apa yang saya makan, apa yang saya buat, berapa kali saya mandi, berapa harga baju saya, berapa harga handbag saya atau perkara-perkara mundane dalam hidup saya. Saya menulis mengenai apa yang terlintas dalam kotak fikiran saya. Kerana itulah saya menulis hanya apabila saya ada rasa untuk menulis, kerana penulisan saya lebih bersifat apa yang saya rasa.

Saya sekarang sedang mempunyai rasa untuk menulis. Baik penulisan blog mahupun penulisan kreatif. Tetapi rasanya saya patut lebih berdisiplin dalam penulisan, kerana jika tidak, ia akan menjadi seperti 5 manuskrip novel saya yang sehingga sekarang masih terbengkalai. Mungkin juga saya harus meminta sahabat baik saya Ina untuk menggerakkan saya, kerana beliau berjaya menggerakkan saya untuk menulis blog kembali. ;)


No comments:

Post a Comment