Nuffnang

Wednesday, July 4, 2012

Hikmah

Saya percaya setiap perkara yang berlaku ada sebab dan musababnya. Mungkin pada ketika ianya berlaku kita merasakan seolah-olah itulah perkara terburuk dalam kehidupan kita dan dunia menjadi gelap gelita tetapi saya percaya bahawa Allah tidak akan membenarkan sesuatu perkara itu terjadi tanpa sebarang hikmah dan pengajaran. Mungkin kita tidak nampak hikmahnya di saat ianya terjadi atau mungkin kita tidak sedar bahawa terdapat keindahan di sebalik kekecewaan itu tetapi qada' dan qadar Allah itu sendiri adalah satu keajaiban yang kadang kala tidak terfikir oleh akal kita. Tetapi saya yakin seandainya kita mengambil beberapa saat untuk merenung dan bermuhasabah, kita akan dapat menemui keindahan itu.

Ketika saya ditimpa kemalangan dan kaki saya patah, semua orang berkata kepada saya bersabarlah dan jangan patah semangat. Semua orang menyangkakan yang saya marah, gentar dan kecewa dengan apa yang berlaku. Tetapi hakikatnya saya tidak berasa terlalu kecewa, saya tidak marah, saya tidak gentar. Gusar? Bohonglah jika saya katakan saya tidak gusar dan bimbang memandangkan saya telah meletakkan jawatan dan sepatutnya mula bekerja di tempat baru sebulan saja lagi tetapi tidaklah keterlaluan. Kerana saya yakin, Allah mengatakan Kun Fa Yakun, membenarkan kemalangan yang berlaku kerana ada keindagan yang akan Dia berikan. Saya yakin yang Allah tidak akan menduga hambaNya dengan dugaan yang tidak mampu dipikul oleh hambaNya. Sepanjang saya berada di hospital,apabila ada sedih yang datang, saya cuba buang jauh-jauh kerana jauh di sudut hati saya, saya dapat merasakan yang Allah sedang menunjukkan sesuatu, yang Allah sedang memberikan saya keindahan.

Dan sesungguhnya perasaan saya itu benar. Selama ini saya bersungut dan merungut mengenai betapa tertekannya saya di tempat kerja, betapa saya dipandang sebelah mata dan tidak dihargai dalam kerjaya saya, betapa penatnya saya apabila majikan sentiasa meminta sesuatu yang lebih dan diluar kemampuan kemanusiaan saya tetapi tidak sanggup untuk memberikan sedikit pengiktirafan atau penghargaan hatta dalam bentuk cuti ihsan sekalipun. Saya sentiasa bising mengenai kepenatan saya, kelelahan saya dan betapa saya perlu untuk merehatkan otak dan perasaan. Dan saya sentiasa terfikir yang saya tidak mampu untuk terus bekerja sebaik sahaja tempoh notis saya tamat kerana saya telah 'burn out'. Nah! Saya kemalangan yang memerlukan saya berehat untuk 3 bulan! Dan kerana kemalangan itu jugalah saya berpeluang untuk memeluk anak saudara terbaru saya sebaik saja dia dilahirkan. Seandainya saya bekerja pada ketika ini, mungkin saya hanya berpeluang untuk memeluk dan mencium anak saudara terbaru saya apabila usianya sudah 2-3 bulan!

Tempoh rehat ini juga membolehkan saya menyusun kembali jadual kerja sampingan saya yang sudah caca marba kerana dihambat kesibukan, membolehkan saya membina kembali kepercayaan klien-klien saya. Juga membolehkan saya menyiapkan beberapa tugas peribadi yang dimanahkan kepada saya yang sudah berbulan-bulan tertangguh. Keterbatasan pergerakan ini juga membuatkan saya kembali menulis di alam maya untuk mengisi kelapangan masa dan mengelak kebosanan. Ia juga membolehkan saya kembali menikmati hobi masa lapang saya yang sudah agak lama saya tinggalkan kerana tidak sempat untuk mencuri masa iaitu membaca. Nah! Bukankah itu semua keindahan namanya? Saya cuma perlukan sedikit masa untuk merenung dan bermuhasabah dan akhirnya saya fahami di manakah keindahan di sebalik kemalangan yang saya alami! Alhamdulillah! 

Nota hujung jari:
Kemalangan ini juga mengingatkan saya kembali kenapa saya jatuh cinta kepada suami saya dulu dan betapa saya masih menyintainya. :)

No comments:

Post a Comment