Nuffnang

Thursday, July 19, 2012

Peluang dan Ruang

Ada sedikit kekalutan dalam kotak pemikiran saya. Sejujurnya saya agak cemburu melihat teman-teman yang berjaya dalam kehidupan mereka. Mereka berani mengambil risiko dan merebut peluang. Mereka berani menukarkan peluang kepada kejayaan. Sedangkan saya...sudah hampir 11 tahun menamatkan pengajian tetapi masih tercari-cari impak kepuasan dalam kerjaya saya. 

Mungkinkah saya masih lagi terperangkap dalam ruang lingkup yang saya ciptakan sendiri? Entahlah. Apa yang saya pasti, saya tahu apa yang saya mahu. Tetapi sepertinya ada gunung tinggi yang harus saya daki sebelum saya mampu mencapai apa yang saya mahu. Mungkin lebih enteng untuk membuat keputusan dan mencipta peluang seandainya saya tidak terikat dengan beban tanggungjawab kewangan...mungkin. Tetapi saya tetap merasakan yang kesilapannya berpunca daripada saya sendiri, yang seringkali tersilap mencatur peluang. 

Saya kagum melihat rakan-rakan wanita saya, yang bagi saya merupakan mereka yang boleh saya jadikan contoh terbaik bahawa genus feminis bukanlah penghalang untuk berdiri sama tinggi, malahan mendongak lebih tinggi daripada genus maskulin. Contohnya seorang rakan yang saya kenali melalui dunia siber ini, Diana, seorang blogger dan ahli perniagaan yang amat hebat bagi saya. Beliau pandai mencipta peluang dan mencari ruang. Saya amat mengagumi beliau yang berjaya mencuri masa untuk menulis blog, menguruskan perniagaan syarikat, perniagaan alam mayanya dan juga rumah tangga. 

Seorang lagi  rakan wanita berjaya memenuhi impiannya menjadi mumpreneur yang berjaya. Dari bilik korporat ke ruang tamu rumah, Lily mencipta kekuatan dan kepuasan sebagai ibu, isteri dan usahawan jualan langsung yang berjaya. Beliau tidak pernah sekalipun menyesal meninggalkan jawatan tinggi dunia korporatnya.

Saya pernah memberitahu ketua saya apabila suatu ketika dulu sewaktu saya memutuskan untuk meninggalkan sepak terajang dunia guaman dan menyertai bidang korporat sebagai penasihat undang-undang bahawa pilihan adalah untuk dibuat oleh kita sendiri. Beliau mengatakan bahawa beliau tiada pilihan dan 'tersekat' dalam dunia guaman dan saya membalas dengan hanya sebaris ayat, "Choices are for us to make". 

Ya, saya masih percaya itu, saya masih percaya bahawa choices are for us to make. Saya masih percaya bahawa tiada istilah tiada pilihan kerana tidak membuat pilihan itu sendiri merupakan satu pilihan. Dan apabila ada rakan-rakan yang mengatakan saya rugi kerana masih tidak menyertai mereka dalam perniagaan mereka, saya hanya tersenyum dan mengatakan saya cemburu dengan kejayaan mereka dan saya juga mahu berjaya. Hakikatnya, kejayaan mereka adalah kejayaan mereka, mungkin saya akan peroleh kejayaan dalam bidang yang sama dan mungkin juga tidak. Biarlah pilihan itu saya tentukan sendiri kerana saya tahu sejauh mana keupayaan saya. Dan saya telah memilih untuk kekal dengan pilihan yang saya buat, sekurang-kurangnya untuk sekarang. Saya masih punya impian tetapi saya merasakan impian itu belum lagi mencapai tahap yang perlu untuk saya palingkan wajah daripada tanggungjawab. Biarlah saya menggapai impian saya dalam rentak saya sendiri. Kerana saya tidak suka membuta tuli mengambil risiko, saya lebih suka mengatur langkah catur saya dengan semasak-masaknya, mengambil kira segala sudut risiko. Saya rasa saya masih mampu mencapai impian dan menggalas tanggungjawab dengan serentak, sinkronisasi tangan dan bahu saya masih baik untuk mencapai dan menggalas segala yang datang. Mungkin berat, dan rentaknya mungkin perlahan tetapi Insya Allah. Saya percaya Allah akan membantu hambaNya yang membantu dirinya.

Selebihnya, biarlah saya berserah sahaja kepada Allah yang satu. Untung sabut timbul dan untung batu tenggelam. Sesungguhnya Dia lebih mengetahui segalanya yang di langit atau yang di bumi.


1 comment:

  1. Kejayaan dlm kehidupan dunia boleh datang dalam pelbagai bentuk dan suasana.. Bahagiakan diri dengan apa yg ada digenggaman sambil terus melangkah ke hadapan, mengejar kejayaan agung di dalam kehidupan selepas mati nanti..

    ReplyDelete