Nuffnang

Sunday, July 22, 2012

Resepi Ayam Percik Putih

Hari Kedua Ramadhan:

Sudah mampu berjalan, meskipun masih ada rasa sakit apabila berpijak dengan kaki yang patah dan sedikit lucu kerana saya berjalan seperti cimpanzi, tetapi Alhamdulillah, sekurang-kurangnya sudah mampu berjalan kembali. Masih memerlukan latihan agar langkah saya kembali kelihatan normal dan tidak seperti seseorang yang akan menghadiri sesi uji bakat watak utama drama Si Capik.

Semalam Abah ingin meraikan Ramadhan dengan ber'iftar' di Restoran Four Seasons, Kota Bharu. Boleh tahan enak juga hidangannya dan pakejnya boleh dikatakan berpatutan, RM250 untuk 12 orang dengan 7 jenis lauk pauk beserta minimum dan pencuci mulut. Feelnya agak kurang bagi saya, mungkin kerana saya merindui kekalutan berbuka puasa di rumah bersama keluarga atau mungkin suami tiada disisi untuk berbuka di hari pertama Ramadhan. Tapi kata Abah dan Mi, berbuka diluar sebegitu lebih menjimatkan kerana tiada pembaziran kuih muih dan lauk pauk yang dimasak dan dibeli di bazar Ramadhan yang kemudiannya terbuang begitu saja. Ada benarnya juga kerana jika membeli belah di bazar Ramadhan untuk 12 orang dengan bermacam-macam selera dan nafsu, tentunya akan lebih kurang sama belanjanya, jika tidak lebih.

Seingat saya sudah hampir 4 tahun saya tidak membeli lauk pauk di bazar Ramadhan, setelah saya mendapat cirit birit yang agak teruk setelah menikmati lauk yang dibeli di bazar Ramadhan dulu. Jika saya ke bazar Ramadhan pun, saya hanya membeli juadah yang dimasak di gerai seperti ikan bakar atau ayam bakar.Ya lah, bulan Ramadhan ni adalah bulan untuk membuat duit bagi sesetengah orang. Apatah lagi di Kuala Lumpur, ibukota di mana semua orang sibuk dan tidak sempat untuk memasak juadah berbuka. Malangnya, mereka hanya memikirkan keuntungan semata-mata, tiada langsung mengambil berat tentang tanggungjawab sosial untuk memastikan juadah yang dijual itu bersih dan segar, bukannya juadah kitar semula!

Sebetulnya masak sendiri, walau seringkas mana sekalipun lebih memberi kepuasan dan pastinya lebih jimat. Almaklumlah, bila saja tiba bulan Ramadhan, harga lauk pauk yang dijual berkali-kali ganda mahalnya. Not to mention, lebih menepati selera saya, terutama sekali tekak Kelantan tak berapa Kelantan saya yang tidak gemarkan juadah yang terlampau manis. Cumanya bila di KL, apabila teringin memasak onde-onde atau puteri mandi atau poli atau apa sahaja juadah yang memerlukan kelapa dalam bentuk parutan, sukarnya mahu mendapatkan kelapa yang tidak berapa tua dan tidak berapa muda. Akhirnya terpaksalah berpuas hati dengan kelapa yang sedikit berhampas rasanya.

Apa ya juadah hari ini? Bagi yang terasa ingin memasak sendiri, mungkin boleh mencuba resepi ayam percik ini. Ini adalah resepi ayam percik Kelantan yang berkuah putih dan bukannya merah seperti ayam percik yang biasa dijual di KL. Ini resepi yang amat mudah dari ibu saya.

AYAM PERCIK KELANTAN

1 ekor ayam (potong 12 bahagian)

Bahan A:
6-8 ulas bawang merah
11/2 cm halia
2 batang serai 
Garam secukup rasa

Bahan B:
2 cawan santan pekat
5-6 ulas bawang merah (ditumbuk)
1 cm halia (ditumbuk)
1 keping asam (yg kecil)
Sedikit buah keras (ditumbuk)
Garam dan gula secukup rasa
Serai (ditindik)

Cara-caranya:
  1. Kisar bahan A dan lumurkan pada ayam. Biarkan seketika (dlm 30 min hingga 1 jam).
  2. Untuk menyediakan kuah, panaskan santan dan masukkan bawang, merah, halia, buah keras, garam dan gula secukup rasa. Apabila hampir menggelegak, masukkan asam keping (saya biasanya akan masukkan asam keping sekejap saja, lepas tu saya akan keluarkan sebab saya taknak masam sangat). Biarkan hingga pekat. (Kalau lambat pekat boleh ditambah sedikit tepung beras untuk memekatkannya)
  3. Bakar ayam menggunakan pembakar bbq/griller (Kalau guna oven, pilih menu gril). Apabila sudah hampir masak, gunakan serai yg ditindik utk memercikkan kuah percik ke atas ayam, di kedua-dua belah (mcm org bakar sate letak kuih sate guna serai tu). Bakar sehingga masak
  4. Apabila sudah masak, curahkan lagi kuah percik ke atas ayam dan hidangkan.
*Blh juga kalau tidak ingin memasukkan serai dan bunga keras.

Gambar ihsan En Google


1 comment:

  1. sedapnya ayam percik ! memang slalu buat menu bukak puasa ni

    p/s: dh masukkan belog ni ke beloglist jugak !

    ReplyDelete