Semalam ada temujanji doktor untuk rawatan susulan. Agak gembira kerana doktor memberitahu aku sudah boleh mula berjalan kembali. Alhamdulillah!Tetapi agak terasa janggal kerana sudah agak lama tidak menggunakan kaki kiri, apabila cuba berpijak terasa sakit seolah-olah kesemutan dan aku jatuh kembali. Doktor kata itu perkara biasa kerana aku sudah hampir 3 bulan aku tidak menggunakan kaki kiri, jadi aku perlu belajar bagaimana untuk berjalan kembali.
Dalam ketawa aku mengadu kakiku terasa seperti pendek sebelah, aku sangkakan itu perkara biasa setelah 3 bulan tidak berdiri dengan kedua-dua belah kaki. Doktor tersenyum dan menerangkan sememangnya kaki kiri aku agak pendek daripada kaki kanan kerana terdapat tulang yang hancur dan apabila berjalan akan terdapat 'slight limp', mungkin untuk beberapa tahun. Aduhhh! Sedikit kecewa aku mendengarnya. Ku pujuk hati dengan mengatakan sekurang-kurangnya aku dapat berjalan kembali, mungkin hanya akan sedikit tempang. Aku juga bertanya kenapa kakiku masih bengkak sekiranya kakiku terjuntai untuk masa yang agak lama. Rupa-rupanya doktor memberitahu terdapat otot yang koyak dan akan memakan masa agak lama untuk sembuh sepenuhnya. Oleh kerana telah terdapat parut di otot, kitaran darah lambat dari kaki lambat untuk naik kembali ke bahagian badan yang lain. Dan katanya lagi ia akan memakan masa mungkin setahun atau dua tahun untuk pulih sepenuhnya. Jawabnya nanti bila aku mula bekerja aku terpaksa meletakkan kotak lah di bawah meja kerana aku perlu meluruskan kaki. Arghhh, baru saja aku berangan-angan untuk mendaki Bohey Dulang sekali lagi hujung tahun ini dan Gunung Rinjani pada tahun depan!
Keputusannya, aku boleh mula bekerja pada bulan 8 nanti. Sekarang aku mempunyai 2 minggu untuk belajar berjalan. Semoga berjaya kepada aku!
Nota tapak tangan:
Gusar juga aku untuk memulakan kerja di tempat baru bersama bos yang dikenali kerana sikap cerewet dan sinikalnya. Meskipun aku mengenali bakal bos baru dan hubungan kami agak baik, tetapi sebelum ini kami hanyalah counterpart colleague dan bukannya majikan-pekerja bawahan. Hmmmm, bagaimana agaknya nanti ya?
No comments:
Post a Comment