Panas. Kebelakangan ini bumi Kelantan memang panas. Maklumlah, iklim di Kelantan dipengaruhi oleh iklim tropika seperti di Thailand, jadi bahangnya amat terasa. Baru sahaja mandi dah terasa seperti mahu mandi lagi. Alangkah nikmatnya kalau dapat berendam di jeram atau air terjun yang sejuk dan menyegarkan.
Sudah lama saya tidak merasai berpuasa di Kelantan. Sebetulnya, sama sahaja seperti tempat-tempat lain. Cumanya di Kelantan ini bagi saya lebih meriah pengisiannya. Saya teringat sewaktu saya masih menuntut di universiti, ketika kerajaan di Kelantan masih baru dua tiga tahun bertukar tangan. Tempat yang paling saya gemari untuk mendapatkan juadah ialah di dataran Padang Bas iaitu bersebelahan Terminal bas henti-henti di Kota Bharu. Bermacam juadah boleh didapati di situ dan yang paling best ialah apabila tidak sempat pulang untuk berbuka di rumah atau mendapatkan tempat berbuka, juadah berbuka percuma disediakan di bawah khemah yang tersergam indah secara percuma. Juadah ini disediakan untuk semua orang, terutama sekali golongan fakir miskin, musafir dan para peniaga pasar besar Khadijah yang baru sahaja menutup kedai dan tidak sempat mendapatkan juadah berbuka. Ia disediakan untuk mengelakkan daripada orang ramai melewatkan waktu berbuka, kerana seperti yang kita ketahui ianya adalah makruh. Meskipun sekadar kurma dan kuih muih, tetapi cukuplah untuk mengisi perut sebelum masing-masing bersolat terawih bersama di dalam khemah yang disediakan di dataran tersebut. Sekarang, apabila dataran tersebut semakin sempit dan tidak dapat memuatkan jemaah, lokasinya dipindahkan ke stadium Sultan Muhammad. Khemah berhawa dingin yang mampu memuatkan hampir 2,000 jemaah didirikan. Diluar juga disediakan sejadah seandainya khemah penuh. Juadah berbuka masih lagi disediakan secara percuma. Jadi tiada alasan untuk melewatkan waktu berbuka dan untuk tidak sama-sama mengimarahkan Ramadhan.
Pemandangan dalam khemah berhawa dingin (Gambar ihsan En Google) |
Pemandangan di luar khemah |
Kemeriahan berpuasa di Kelantan juga boleh dilihat pada juadah yang beraneka rupa. Pada bulan puasalah pelbagai juadah yang sukar diperolehi pada bulan-bulan biasa banyak dijual. Kuih muih seperti nekbat, akok, jala mas, buah tanjung, tahi itik, poli, ekor kucing, puteri mandi, lompat tikam, serabai, tepung boko, kole kacang dan sebagainya yang pelbagai bentuk dan warna memeriahkan bazar-bazar Ramadhan di sekitar Kelantan.
Antara kuih muih tradisional Kelantan |
Itu belum dikira juadah hanya membuat kemunculan pada bulan puasa seperti kerabu sare dan jeruk maman.
Kerabu sare (gambar ihsan En Google) |
Mungkin kerana saya masih lagi tebal Kelantannya, tiap kali bulan Ramadhan, saya tentu tercari-cari juadah Kelantan. Bila berada jauh dari negeri kelahiran, seringkali yang dibeli tidak terasa keasliannya. Jadi, kesempatan berpuasa dua minggu di rumah ini saya pergunakan sebaik mungkin untuk menikmati kembali juadah-juadah kegemaran saya.
Tetapi, makan makan juga. Kesihatan dan sikap berjimat cermat jangan dilupa. Kebanyakan kuih muih Kelantan ini manis rasanya, malah lauk pauknya juga agak manis. Kena berhati-hati bila membeli, serta beringat jangan terlebih beli sehinggakan penuh satu peti sejuk. Akibatnya, habis sahaja Ramadhan, kuih muih itu semua jadi makanan tong sampah!
No comments:
Post a Comment