Pertama kali saya membaca buku ini hampir 24 tahun yang dulu. Saya kebosanan di rumah nenek dan menyelongkar kabinet yang tersimpan buku-buku ibu saudara saya. Buku ini antara yang saya temui. Suatu ketika dulu saya memang gila membaca, saya membaca apa sahaja, daripada papan tanda jalan sehinggalah akhbar pembalut sardin. Ketika itu saya mampu menghabiskan 10-20 buah buku dalam masa sehari, satu kegilaan yang sememangnya saya rindui sekarang ini.
Jika anda peminat sastera, khususnya peminat penulis hebat seperti bapak Pramoedya Ananta Toer, buku ini adalah antara yang wajib anda baca. Saya masih ingat dengan jelas air mata saya mengalir tanpa henti apabila membaca novel ini. Saya cukup terkesan dengan kisah Sa'aman, Paijan, Amilah, Salamah dan yang lainnya. Bagaimana mereka menempuh keadaan dharurat serta perjuangan mereka menentang Belanda yang cukup meruntun hati nurani.
Sudah sekian lama saya mencari buku ini untuk diulang baca tetapi masih belum berhasil. Dari Kuala Lumpur hingga ke Jogjakarta buku ini dicari, namun belum diketemui. Mungkin juga kerana buku ini antara yang terawal dihasilkan oleh bapak Pram dan tidak diulang cetak. Andaikata anda mengetahui di mana buku ini dijual, khabarkan kepada saya kerana saya ingin sekali memilikinya untuk dibaca kembali dan dijadikan koleksi.
No comments:
Post a Comment