Nuffnang

Monday, July 30, 2012

Teori Konspirasi

Kita kalau nak mengikut sesuatu, biar mengikut dengan ilmu, jangan membuta tuli mengikut kata orang, nanti akan jadi seperti si buta memberi arahan kepada si pekak, sesat jadinya.

Dalam dunia ini, bukan semua benda yang terjadi itu ada konspirasi di sebaliknya. Orang akan nampak apa yang dia hendak nampak. Motif bunga melur pun akan dilihat seperti pentagram kuno. Sibuk sana sini mengata syiling baru Malaysia adalah konspirasi Freemason. Bila orang bercakap pasal lembu tinggal dalam kondominium, sibuk pulak melaung yang itu konspirasi politik. Bila keluar kenyataan kurma itu lebih berkhasiat daripada epal dan susu kambing itu lebih banyak manfaat dari susu lembu, sibuk melalak kata itu konspirasi Yahudi yang mencanangkan epal boleh menjauhkan doktor (an apple a day can keep the doktor away) dan susu lembu banyak khasiatnya. Hakikatnya, bukan konspirasi yang menjadikan engkau bodoh, engkau sendiri yang malas nak belajar ilmu yang dah diperturunkan Allah.

Sudah banyak dalam hadis nabi yang memperkatakan tentang kebaikan kurma dan susu kambing. Nabi Muhammad S.A.W sendiri mengamalkan minum susu kambing dan memakan kurma. Perkara ini banyak diutarakan dalam kitab-kitab dan hadith. Malahan al-Quran dalam Surah Maryam ayat 25 telah menyebut mengenai khasiat kurma:


"Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak." 

Nah! Perkara ini telah diterangkan sejelas-jelasnya di dalam al-Quran dan sirah Nabi. Celiklah mata sedikit, bukannya konspirasi Yahudi yang memperbodohkan kamu, tetapi kemalasan dan kejahilan sendiri lah yang memperbodohkan kamu.

Tapi yang peliknya, terlampau cepat kamu percaya teori konspirasi. Bila orang mengatakan susu kambing itulah yang diminum kaum Yahudi dan bukannya susu lembu, semua sibuk meninggalkan susu lembu dan mencari susu kambing. Alahai ceteknya pemikiran. Dalam Quran telah banyak mengatakan mengenai khasiat susu, tanpa menyebut susu lembu atau kambing. 


"Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya" (Surah an-Nahl:66)


dan 


"Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan (tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya); Kami beri kamu minum dari susu yang ada dalam perutnya, dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya; dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki penghidupan kamu." (Surah Al-Mu'minun:21)


Al-Quran telah mengatakan bahawa susu itu baik. Bukan hanya susu kambing sahaja, susu binatang ternakan lain juga seperti lembu, biri-biri dan unta. Jangan jadi bodoh, benda yang baik jangan diperburukkan dengan momokan orang!

Hakikatnya, orang kita suka sangat bertaqlid, mengikut membabi buta. Itulah yang merisaukan Rasulullah satu ketika dulu. Kalau nak mengikut pun, ikut la dengan ilmu. Islam itu luas dan mudah, Islam tidak pernah melarang ijtihad, malahan Islam paling menggalakkan umatnya menggunakan akal. 

Seperti gerakan boikot satu ketika dulu. Cuba guna akal sedikit, jangan boikot membabi buta. Kalau kita boikot barangan yang memang terang-terang dibuat di Israel atau menyumbangkan duit kepada Israel memanglah bagus. Tetapi...ada tapinya. Bukan semua barangan yang jenama asalnya daripada US atau Israel adalah milik US atau Israel! Contohnya KFC dan McD. KFC dan McD adalah berkonsepkan francais, yakni yuran francais yang tetap dibayar kepada pemilik francais. Keuntungan atau kerugian outlet-outlet di Malaysia tidak akan memberi impak kepada pemilik francais kerana mereka akan tetap mendapat bayaran yang sama setiap tahun. Tetapi kalau boikot tersebut benar-benar berkesan dan outlet-outlet tersebut ditutup, yang akan merana adalah pekerja-pekerja outlet-outlet tersebut, yang sebahagian besarnya adalah warganegara Malaysia dan beragama Islam! 

Masalah dengan orang kita, terlalu selesa menjadi pak turut. Kita tidak pernah mempersoalkan apa, kenapa, mengapa. Sebagai contoh, masih ada lagi antara orang kita yang berfikiran untuk menunaikan solat, telekung itu adalah wajib. Apabila ada yang bersolat tanpa mengenakan telekung, masing-masing pandang macam orang itu telah melakukan dosa besar, solatnya tidak sah. Sedangkan hakikatnya untuk bersolat, telekung itu tidak wajib, yang wajib adalah kita menutup aurat untuk menghadap yang Maha Pencipta!

Sememangnya Islam mengajar kita agar berhati-hati dengan dakyah dan dakwah mereka yang cuba menjatuhkah Islam, tetapi Islam tidak pernah mengajar kita menjadi bodoh. Apabila Yahudi maju, kita kata mereka maju kerana menindas Islam. Hakikatnya mereka maju kerana mereka bijak mencuri ilmu yang telah diperturunkan Allah, bukan seperti kita yang hanya melaung-laung bahawa kita ditindas, saudara seagama kita disiksa tetapi tidak berbuat apa-apa pun tetapi sebaliknya lebih banyak menunjukkan betapa mudahnya kita diperbodohkan!


1 comment:

  1. assalamualaikum.saya suka nasi kerabu jugak HEHEHE

    ReplyDelete