Nuffnang

Friday, July 6, 2012

Kenapa Sukar untuk Bersyukur?

Kenapa bila kita ditimpa musibah kita sering bertanya "Kenapa aku?Apa dosa yang telah aku lakukan sehingga aku ditimpa musibah sedemikian rupa?" Tetapi apabila kita dianugerahkan sesuatu, kenapa kita tidak pernah bertanya "Kenapa aku? Apa kebaikan yang telah aku lakukan sehingga aku diberikan anugerah sebegini hebat?"

Hakikatnya, kita seringkali lupa untuk bersyukur tetapi kita sentiasa lupa diri apabila mengungkit. Kita ungkit segala apa yang kita lakukan, kadang-kadang tanpa sedar kita mengungkit tentang duit RM10 yang kita dermakan, bantuan yang kita hulurkan sewaktu membantu menukar tayar yg pancit contohnya, atau kemurahan hati kita membelanja rakan-rakan makan tengah hari. Apabila ditimpa musibah kita jadi marah, kita jadi geram, kita ungkit segala kemurahan hati kita. Kita kata kenapa kita masih ditimpa musibah walaupun kita amat bermurah hati, kita tidak pernah berkira. Tetapi kita lupa, kita riak, kita sebenarnya berkira dengan Allah. Patutkah Allah berikan kita anugerah dan rahmatNya sedangkan kita riak dan takbur dengan rezeki yang Dia berikan?

Kita juga lupa yang sebenarnya musibah yang Dia turunkan itu juga adalah satu anugerah, satu bentuk rahmat yang Dia berikan kerana itu menandakan yang Dia belum melupakan kita. Itu menandakan yang kita dianugerahkan kesempatan olehNya untuk memperbaiki diri dan belajar erti ketabahan dan kesabaran. Masya Allah, betapa kita melupakan dan mengabaikan nikmat dan rahmat yang Dia kurniakan kepada kita!

Kita sering merasakan kita besar dan hebat sedangkan kitalah yang paling kerdil disisi Allah. Kadang-kadang apabila terserempak dengan pengemis atau pendatang asing, kita memandang mereka dengan pandangan prejudis dan jijik, sedangkan mungkin disisi Allah mereka lebih tinggi tarafnya daripada kita semua.

Hakikatnya, siapalah kita untuk menghukum dan menentukan tempat seseorang. Kita hanyalah manusia yang diberikan kesempatan untuk merasai nikmat dan rahmatNya. Jadi sekaya mana pun kita, setinggi manapun pangkat kita atau pendidikan kita, kita hanyalah hambaNya yang hina. Dia tidak akan memandang harta kita yang menggunung atau sijil kita yang berlambak. Dia tidak akan menilai kemampuan kita berbahasa Inggeris dengan baik atau kemampuan kita mengikut fesyen. Apabila bertemu denganNya kita akan hanya dibungkus dengan kain kafan dan membawa amalan kita, bukannya memakai pakaian berjenama Armani, Chanel, Versace, Vera Wang atau membawa beg tangan Birkin, Gucci, Prada, LV atau kasut Jimmy Choo atau Louboutin yang kita belanjakan beribu-ribu untuk membelinya. Itu semua tidak akan membantu kita tetapi walaupun RM1 yang kita belanjakan ke jalan Allah, itulah yang akan amat-amat membantu kita. Jadi tidak perlulah kita merasa kecil atau rendah diri kerana tidak mampu bermewah-mewahan seperti orang lain sebaliknya tanya lah diri kita sendiri apa yang telah kita buat untuk membawa kita ke jalan Allah.

1 comment:

  1. mungkin disebabkan hati dah penuh titik hitam sampai nk ersyukur pn susah . bila kena musibah baru egt tuhan , time bahagia lupa sedia.

    ReplyDelete