Nuffnang

Sunday, July 1, 2012

Idola

Kadang-kadang dalam hidup ni kita tak perlu memandang jauh untuk mencari seseorang yang boleh dijadikan idola. Ya, ramai orang terkenal yang boleh dijadikan idola tetapi percaya tak kalau saya katakan kebanyakan masanya, orang yang dekat dengan kita itu lah yang lebih layak dijadikan idola dan dikagumi. Kenapa? Kerana kita melihat perjuangan mereka, kita merasai jatuh bangun mereka, jadi kita lebih dekat dengan mereka dan kehidupan mereka lebih mengesankan untuk kita contohi.

Dalam kehidupan seharian saya, saya bertemu dengan ramai orang. Dan saya rasa setiap daripada mereka mempunyai sekurang-kurangnya satu keistimewaan yang boleh saya kagumi. Makin lama saya mengenali mereka, makin kagum saya dengan mereka. Kadang-kadang hati saya terdetik, "kalaulah saya miliki separuh daripada kekuatan dan kecekalan mereka."

Ibu saya adalah idola saya yang teratas. Saya mengagumi kesabaran, kecekalan dan kasih sayang yang ibu saya miliki. Bukannya mudah membesarkan 9 orang anak, kebanyakan masanya berseorangan kerana ayah saya sangat sibuk bekerja. Apabila ayah saya berkahwin seorang lagi, ibu saya kecewa. Tetapi ibu saya tidak menjadikan kekecewaan itu satu penyebab untuk memusnahkan keluarga. Ibu saya terima seadanya, bersabar dan cekal mengharungi hakikat yang dia berkongsi kasih. Dan sekarang saya boleh berbangga dengan hakikat yang saya mempunyai dua orang ibu yang sangat-sangat istimewa dalam hati saya. Setiap seorang daripadanya memiliki keistimewaan sendiri. Ibu tiri saya tidak pernah cuba mengambil alih peranan ibu saya, tidak cuba menjadi yang pertama tetapi masing-masing menghormati dan memiliki peranan tersendiri. Mungkin kadang-kadang ada perasaan cemburu timbul di hati masing-masing tetapi itu adat berkongsi kasih dan setakat ini mereka mampu mengatasinya.

Sewaktu nenek saya iaitu ibu kepada ayah saya terlantar sakit, ibu saya menjaga nenek saya, kebanyakan masanya seorang diri. Sesuatu yang amat sukar kerana pada masa itu adik-adik saya masih kecil dan bukannya mudah untuk menjaga seorang tua yang terlantar dan beremosi! Saya tidak tahu sama ada saya mampu melakukannya seandainya saya berada di tempat ibu saya.

Kini bila kaki saya patah, ibu saya jugalah yang menjaga saya. Beliau menyiapkan makan minum saya, air mandi saya, ubat-ubatan saya dan sebagainya. Meskipun sebelum ini sewaktu di hospital suami saya melakukan tugas yang cemerlang menjaga saya, ibu saya menawarkan diri untuk mengambil alih tugas tersebut apabila saya dibenarkan pulang kerana suami saya perlu bekerja. Juga bukanlah satu tugas yang mudah  kerana beliau juga harus menjaga anak saudara saya yang berusia satu tahun dan ditambah pula dengan adik ipar saya yang baru bersalin dan sedang berpantang.

Ayah saya juga tidak kurang hebatnya. Mencari rezeki untuk membesarkan 10 orang anak dan seorang anak tiri tanpa mengenal penat lelah. Ayah saya pernah berkata, untuk memberikan harta kepada semua anaknya beliau tidak mampu, apa yang mampu beliau lakukan ialah memberikan pendidikan setinggi yang mungkin kepada anak-anaknya. Kerana itulah ibu bapa saya sanggup bergolok bergadai demi memastikan anak-anaknya menerima pendidikan yang sewajarnya. Dan saya tahu hati mereka remuk apabila ada di antara adik-adik saya yang seolah-olah tidak menghargai peluang yang diberikan dan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk meraih kejayaan akademik.

Bagi saya ibu bapa saya adalah idola saya yang paling hebat. Saya tidak pasti seandainya saya mampu menjadi seperti mereka. Saya amat berharap agar saya mampu menjadi seorang yang sabar seperti ibu saya menangani karenah seandainya ditakdirkan satu hari nanti mereka terlantar sakit.  Saya bersyukur seandainya saya memiliki walau separuh pun kesabaran, kecekalan dan kasih sayang yang mereka miliki.

No comments:

Post a Comment