Nuffnang

Monday, September 3, 2012

Merdeka, Balik Kampung dan Open House

Merdeka! Merdeka! Merdeka! For me, it is never too late to wish Selamat Hari Merdeka!

Apa erti merdeka bagi anda? Merdeka bagi saya bukan hanya dengan memacakkan, mengibarkan atau meletakkan Jalur Gemilang di kereta-kereta, di tiang-tiang bendera atau di rumah-rumah kita semua. Kurang patriotikkah saya seandainya saya tidak mengibarkan atau meletakkan bendera Jalur Gemilang di kereta atau di rumah saya? Saya rasa patriotisme adalah sesuatu yang lebih dalam, lebih 'deep' daripada mengibarkan dan meletakkan bendera di kereta-kereta atau di premis-premis kediaman, pejabat mahupun perniagaan. Saya ada sebab tersendiri kenapa saya tidak suka mengibarkan atau meletakkan Jalur Gemilang di kereta saya. Dan saya rasa dengan tidak meletekkan Jalur Gemilang di kereta atau di rumah saya tidak menjadikan saya kurang patriotik berbanding orang lain yang berbuat demikian. Malahan saya memutuskan untuk tidak mengibarkan dan meletakkan Jalur Gemilang di kereta atau rumah saya atas sebab yang saya rasakan cukup patriotik. Saya tidak suka bendera kebanggaan negara saya suram, pudar dan berserabut dengan segala macam kotoran, daripada air hujan, debu hingga ke selut berlumur mencemari sesuatu yang saya banggakan. Dan sekiranya saya meletakkannya di kereta saya, seandainya bendera tersebut tercabut ditiup angin, ia akan tersadai di atas jalan atau ditepi jalan, digilis, dipijak dan diinjak oleh pelbagai kenderaan, manusia dan binatang sehingga renyuk, comot dan seperti kain buruk. Akhirnya, Jalur Gemilang yang sepatutnya menjadi kemegahan terbiar sepi tidak dihiraukan.

Saya rasa pengertian MERDEKA sudah semakin dikomersilkan nilainya. Kenapa perlu memberikan penghargaan kepada Jalur Gemilang hanya pada bulan Ogos? Sedar tidak sedar, selepas sambutan 31 Ogos sahaja Jalur Gemilang terbiar menjadi sampah sarap di Dataran Merdeka, stadium-stadium atau di mana sahaja sambutan kemerdekaan diadakan. Sesuatu yang amat menyedihkan dan amat menghina saya rasa. Dan tahun ini, penghinaan itu berganda apabila ada yang menjalankan piket untuk menukar Jalur Gemilang kononnya. Sebabnya, sekali lagi, konspirasi kononnya Jalur Gemilang direka agar menyerupai bendera Amerika Syarikat! Aduh! Cetek sungguh pemikiran rakyat Malaysia ini. Mudah benar terpengaruh dengan dakyah dan propaganda yang sebetulnya merupakan cubaan untuk memecah belahkan dan mengganggu gugat keharmonian negara.

Satu lagi yang saya tidak suka mengenai sambutan kemerdekaan, yang mana saya rasakan merupakan penghinaan kepada perjuangan nenek moyang kita yang berhempas pulas, bermandi darah membebaskan negara daripada tangan penjajah. Kenapa perlu dibazirkan wang dengan sambutan besar-besaran, pertunjukan bunga api, persembahan artis-artis dan sebagainya? Tiba sahaja ambang merdeka, bermacam-macam jenis orang yang keluar untuk menyambut kemerdekaan kononnya, tetapi mereka tidak sedar mereka sebenarnya terjajah rohani, terjajah pemikiran. Sudah berapa banyak kita dengar mengenai kisah-kisah rogol, mabuk dan seks bebas yang terjadi pada malam kemerdekaan? Belum lagi cerita mengenai vandalisme dan kemusnahan harta benda yang berlaku. Pernah sekali sewaktu saya bekerja di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, saya terpaksa pulang lewat kerana menyiapkan tugasan yang melambak. Waktu itu sudah pukul 10 lebih malam. Di sekitar Sogo dan Pertama Complex bermacam jenis manusia yang saya nampak, saya pun tidak pasti sama ada itu manusia, jin atau hantu. Dengan rambut tercacaknya, rambut trojan yang warna warninya dan ada juga yang tidak berambut terus.Bersubang di telinga, bersubang di hidung malahan di lidah dan entah mana lagi tempat yang sensitif dan tidak wajar disebut agaknya. Memakai pula pakaian yang pelik-pelik, gelang tangan yang bergerigis-gerigis, choker yang berpaku (teori saya mereka mengeluarkan pepaku dari kasut bola dan memakainya dileher). Mereka semua menakutkan saya! Malahan ada dua tiga orang daripada mereka yang bertindak mengetuk, memukul dan menumbuk teksi yang saya naiki!

Ia membuatkan saya tertanya, itukah erti merdeka bagi rakyat Malaysia? Terutama sekali bagi muda mudi pewaris negara? Dan kenapa kerajaan sepertinya tidak sedar tentang hal ini? Meneruskan lagi dengan sambutan yang seolah-olah menggalakkan mereka keluar lewat malam dan bergaul bebas? 

Tahun ini ada sesuatu yang saya kesalkan apabila bercerita mengenai kemerdekaan. Menjadi seorang yang separa kurang upaya untuk sementara waktu, saya seperti dikejutkan hakikat bahawa setelah 55 tahun merdeka, rupa-rupanya golongan kurang upaya masih terpinggir dan dipinggirkan. Cuti 3 hari yang ada, saya merebut peluang untuk pulang ke Kelantan dan beraya bersama keluarga sebelah saya. Sepanjang perjalanan, dua tiga kali kami berhenti di stesen minyak untuk buang air dan merehatkan badan. Apa yang menyedihkan, kebanyakan stesen-stesen minyak ini tidak menyediakan kemudahan untuk golongan kurang upaya. Jangankan tandas khusus untuk golongan ini, tandas duduk pun tidak ada. Kemudian apabila tiba di Gua Musang, kami berhenti di hentian R&R yang baru dibuka. R&R ini ada menyediakan tandas khusus untuk golongan kurang upaya tetapi dikunci pula. Di pintu tandas tertampal notis yang mengatakan kunci perlu diminta daripada penyelia yang bertugas. Tetapi penyelia yang bertugas langsung tidak kelihatan. Bayangkan, R&R itu dipenuhi orang dan agak luas, sudahlah mahu terkencing, perlu pula mencari penyelia yang entah di mana berada. Bagi saya yang sedang dalam proses penyembuhan ini, mungkin boleh digagahkan terhincut-hincut ke tandas biasa, tetapi bagaimana pula bagi mereka yang lumpuh, kudung atau orang tua yang sudah tidak larat?

Sudahlah  apabila terhincut-hincut ke tandas awam yang biasa, saya dapati semua tandas duduknya tidak mempunyai pelapik. Bagaimana mahu duduk? Apa semua wanita perlu kencing berdiri seperti lelakikah? Akhirnya saya terpaksa menggunakan tandas cangkung, menahan sakit mencangkuk dengan sebelah kaki, dan bila mahu bangun amat seksa kerana tiada tempat untuk berpegang, terpaksa melonjakkan diri dengan berpegang pada kepala paip dan kemudian dinding. Bayangkan jika orang tua seperti nenek saya yang sudah bongkok dan tidak mampu mencangkung...agaknya sudah terkencing di dalam pakaian jadinya.

Sepanjang perjalanan juga saya dapati banyak bukit dan hutan, terutama sekali sepanjang Raub hingga ke Kuala Lipis yang ditarah dan ditebang. Saya juga dapat tahu yang Tasik Chini juga sudah bertukar rupa, sudah tiada keindahannya kerana terdapat aktiviti perlombongan yang dijalankan berhampiran. Apa sudah jadi? Inikah merdeka yang kita inginkan? Memerdekakan bumi Malaysia daripada hutan belukar yang memberikan kita semua sumber oksigen dan menapis pencemaran? Memerdekakan warisan hutan Malaysia yang indah ini? Hakikat yang tidak boleh disangkal, merdeka Malaysia belum ada makna kerana masih ramai yang belum merdeka hati dan akal daripada tamak dan haloba.

Sedih, amat menyedihkan sekali kerana kita terlampau taksub mahu menjadi maju sedangkan kita tidak sedar kita semakin mundur rohani, kolot akal. Apa lah namanya kemodenan seandainya anak-anak cucu kita nanti, belum umur 10 tahun sudah meninggal akibat sesak nafas. Jangan satu hari nanti oksigen akan menjadi komoditi berharga yang diperdagangkan, sepertimana yang hampir berlaku kepada sumber air sekarang. Nauzubillah, semoga dijauhkan Allah. Bagi saya sendiri, saya tersangat sayangkan negara ini dan saya sanggup negara ini tidak menjadi negara maju asalkan anak-anak cucu saya masih mampu hidup dan bernafas dengan aman dan tenteram di bumi bertuah ini. 

Nota hujung jari:
Hujung minggu hadapan sahaja saya menerima 4 jemputan open house pada hari Sabtu, membuntal lah jawabnya saya nanti.


No comments:

Post a Comment