Nuffnang

Wednesday, September 5, 2012

Cemburu dan Iri Hati

Kadang-kadang kita ni terlalu senang cemburu dan iri hati dengan apa yang ada pada orang lain. Kita nampak kawan kita yang masa sekolah keputusan peperiksaannya tidaklah semenggah mana berjaya dalam kerjaya, pegang pangkat tinggi dan bergaji besar, kita cemburu, kita jadi iri hati. Bila keluar bersama kawan yang cantik manis dan tumpuan lelaki lebih kepadanya, kita jadi cemburu, jadi iri hati. Bila rakan lain yang kahwin lagi lewat daripada kita dapat anak lebih awal daripada kita, kita cemburu, kita iri hati. Bila rakan kita dapat suami handsome, bergaya dan kaya, kita cemburu, kita iri hati. Bila rakan sekerja yang menyertai syarikat lebih lewat daripada kita naik pangkat, kita cemburu, kita iri hati. Bila rakan kita mampu membeli rumah yang besar, kita cemburu, kita iri hati. Pendek kata, semua apa yang ada pada orang dan tidak ada pada kita, kita jadi cemburu, kita jadi iri hati.

Tetapi kita tidak pernah nampak apa yang kita tidak ingin nampak. Kita cuma melihat apa yang kita mahu lihat, kadang-kadang yang sebaliknya terpampang di depan mata kita tidak endahkan, kita tutup mata kita dari melihat kerana kita terlalu asyik melayan rasa cemburu dan iri hati. Kita rasakan kita lebih layak memiliki apa yang dimiliki orang lain. Bila orang lain berjaya, hati cemburu dan iri hati kita mengatakan yang mereka menggunakan cara yang tidak baik untuk berjaya.

Kita tidak nampak kawan kita yang tidak semenggah akademik itu sebenarnya bekerja kuat untuk mendapat kerjaya yang berjaya, yang sebenarnya kawan kita yang lemah akademik itu bijak ilmu kehidupan, tidak pernah melepaskan peluang dan sentiasa mencuri ruang. Bukan seperti kita yang hanya merungut dan menjuih cemburu.

Kita tidak nampak yang kawan kita si cantik manis yang menjadi tumpuan lelaki itu sentiasa kecewa dalam cinta dan belum bertemu jodoh kerana lelaki lebih tertarik kepada kecantikannya berbanding peribadinya. Atau jodohnya lambat sampai kerana dia tidak dapat memastikan siapa yang lebih mencintainya kerana terlalu banyak pilihan.

Kita tidak nampak yang kawan kita yang kahwin lewat tetapi dapat anak lagi awal daripada kita itu selama ini tidak putus-putus berdoa agar diketemukan jodoh. Betapa kawan kita itu bertahun-tahun memendam perasaan digelar andartu.

Kita tidak nampak yang kawan kita yang tidak cantik tetapi bersuamikan lelaki handsome, bergaya dan kaya itu sebenarnya lebih cantik daripada kita kerana peribadinya, bukan kerana rupanya. Kita tidak nampak yang kawan kita yang cantik jelita dan bersuamikan lelaki handsome, bergaya dan kaya sebenarnya menderita kerana suaminya menduakannya. Atau suaminya rupa-rupanya tidak berselera dengannya kerana lebih berselera dengan yang sejenis.

Kita tidak nampak yang rakan sekerja kita naik pangkat kerana dia berusaha keras, berdedikasi dalam bekerja. Tidak pernah lewat, sentiasa tiba ke pejabat awal dan pulang lewat. Tugasan tidak pernah tertangguh.Bukan seperti kita yang sudahlah tiba ke pejabat lewat, tugasan asyik tertangguh, asyik pula melayan FB atau update blog di waktu pejabat (eh?!).

Kita tidak nampak yang kawan kita mampu beli rumah yang besar kerana dia berusaha keras menabung untuk mendapatkannya. Bukan seperti kita yang belum sampai pertengahan bulan, gaji sudah habis ditabur ke kelab-kelab ronggeng atau kaunter-kaunter mekap dan handbag (bukan aku, aku tak buat).

Kita tidak sedar yang sebenarnya Allah memberikan rezeki dalam pelbagai bentuk, kadang-kadang kita tidak nampak. Rezeki yang Allah kasi itu sebenarnya sudah di 'tailor made' untuk kita. Mungkin kita tidak mempunyai kerjaya yang berjaya tetapi kita mempunyai keluarga yang bahagia. Mungkin kita tidak mempunyai peminat yang ramai tetapi kita mempunyai kekasih yang setia. Mungkin kita tidak mempunyai zuriat tetapi kita mempunyai suami yang menyokong. Mungkin kita tidak mempunyai suami yang kaya dan bergaya tetapi kita mempunyai suami yang penyayang. Mungkin kita tidak naik pangkat tetapi kerja kita tidak mempunyai tekanan dan ada ruang untuk kita bersosial bersama rakan-rakan. Mungkin kita tidak mempunyai rumah yang besar tetapi keluarga kita kecil, tidak perlu rumah yang besar dan tidak terlalu penat untuk mengemas. Hakikatnya, kita ini manusia yang lupa untuk bersyukur, lupa untuk melihat juga kesusahan orang dan bukannya hanya cemburu dengan kesenangan orang. Dan kita ini juga manusia yang malas berusaha, hanya tahu mengeluh, tidak puas hati, cemburu, iri hati sedangkan kita sendiri tidak pernah berusaha untuk mencapai apa yang orang lain capai. Ringkas cerita, kalau malas, kalau takut gagal, jangan mimpi mahu jadi kaya, jangan mimpi mahu berjaya. Sebenarnya tiada alasan untuk berjaya, yang ada hanyalah alasan untuk tidak berusaha mendapatkannya.

Nota ibu jari:

"There are three kinds of people: those who let it happen, those who make it happen, and those who wonder what happened."John Richardson



1 comment:

  1. Ini rase semangat nak kejaq impian hidup nih. Terima kasih untuk kata2 perangsang tuh. Harap masuk ke dalam otak tepu nih hendaknya.

    Ade banyak benda perlu diselesaikan dalam hidup nih.

    ReplyDelete