Nuffnang

Tuesday, October 2, 2012

Kesopanan dan Kesusilaan

Aku rasa Allah bagi aku kaki patah untuk membuka mata aku terhadap sesuatu. Pengalaman menjadi seorang yang disabled untuk sementara ni memang betul-betul eye opener. Sebelum ni aku tak rasa kesusahan, keperitan dan perasaaan orang yang kurang upaya ni tapi sekarang aku dah rasa. 

Di KLCC misalnya, bukan sekali dua aku ditolak, dihimpit, dilanggar oleh manusia-manusia yang merasakan mereka cukup sempurna sehingga membolehkan mereka bersikap pentingkan diri. Meskipun bertongkat, bukan sekali dua bahu aku dilanggar, tongkat aku di 'tersepak' tanpa ada sebarang permohonan maaf. Terutama sekali dalam lif, ramai manusia-manusia yang sihat tubuh badan ini berasak-asak sekali untuk menggunakan lif, meskipun hanya untuk ke tingkat 2 dari tingkat 1. Sudahnya aku yang bertongkat terpaksa menggunakan escalator kerana lif asyik penuh dengan manusia-manusia yang mampu berlari pecut yang berasak-asak berebut dengan orang-orang seperti aku. Hari ini sahaja aku dengan seorang ibu yang menyorong 'stroller' bayinya tidak boleh menggunakan lif kerana dipenuhi manusia-manusia berupaya yang berborak lantang tentang handbag berjenama manakah yang mereka miliki.

Ada pula yang jenis merasakan jari mereka akan patah jika menekan butang untuk menahan pintu lif. Terhincut-hincut aku mengejar lif yang terbuka, mereka boleh memandang dengan pandangan kosong sambil membiarkan pintu lif tertutup sewaktu aku hanya berada selangkah sahaja lagi untuk memasuki lif. Ketika aku sihat pun aku merasakan itu adalah sesuatu yang amat biadap, apatah lagi bila aku mengalami kesukaran untuk bergerak sebegini. Apa salahnya kamu menekan butang lif untuk menahan pintunya daripada tertutup apabila kamu melihat orang lain juga ingin masuk? Orang itu pula sudah begitu hampir dengan pintu lif, tidak sampai seminit pun kamu perlu tahan. Bukannya kamu perlu menahan lif untuk seseorang yang masih berada dalam kereta pun. Begitu juga dengan pintu, aku rasa orang yang melepaskan atau menutup pintu sedangkan dia sedar ada orang lain di belakangnya yang juga ingin masuk adalah amat-amat biadap dan kurang ajar. Pernah terjadi aku melihat orang terlanggar pintu hanya kerana dia menyangkakan orang di depannya akan menahan pintu daripada tertutup tapi sebaliknya orang di depannya melepaskan pintu tanpa sebarang rasa bersalah.

Menjadi orang kurang upaya di Malaysia ni bukannya mudah. Dah lah fasiliti untuk orang kurang upaya amatlah tidak mencukupi, yang ada pun sangat tidak memuaskan. Di tambah pula dengan sikap rakyat Malaysia sendiri. Aku rasa ada betulnya juga Reader's Digest menyenaraikan Malaysia sebagai antara negara yang paling biadap di dunia. Kita melaung-laungkan kesopanan dan keramahan rakyat Malaysia tapi hakikatnya tidak begitu. Mungkin juga kesopanan dan keramahan itu hanya istimewa untuk orang-orang kampung yang dianggap tidak terpelajar sahaja kot, bila berada di bandar saja terus masing-masing jadi kurang ajar. Sayang, rakyat Malaysia sekarang kononnya semakin ramai yang terpelajar tetapi masih kurang ajar rupanya. Benarlah, ilmu akademik tidak menjadikan seseorang itu pintar ilmu kemanusiaan. Secara relatifnya kita masih jauh tercicir dalam pembangunan moral insan. Di mana silapnya? Sistem pendidikan kita kah? Asuhan ibu bapakah? Atau pemakanan susu haiwan yang diberikan? Kenapa rakyat Malaysia semakin biadap sedangkan perkara kelima dalam rukun negara Malaysia adalah kesopanan dan kesusilaan?

The fact is, modernization kills humanity. Kita berusaha keras untuk mencapai kejayaan material sehinggakan kita lupa bahawa pencapaian keinsanan itu juga penting. Tak usah dilaung-laungkan bahawa kita adalah negara berkebajikan jika kebajikan itu hanya membawa manfaat kepada segelintir golongan sahaja. Tak usah dilaung-laungkan bahawa kita mempunyai modal insan yang berkualiti jika kualiti itu dinilai dalam ruang lingkup yang amat terhad dan tertutup. Golongan kurang upaya juga boleh memberi sumbangan yang hebat. Mereka juga adalah modal insan yang bernilai. Kenapa perlu mereka dipinggirkan?

Kadang-kadang rasa malu dengan orang asing. Mereka amat menghormati dan mengambil berat terhadap orang yang kurang upaya, orang tua atau ibu yang mengandung atau membawa anak kecil. Ada antara mereka yang sehingga menawarkan untuk membawa barang-barang dan mengiring aku ke tempat yang aku ingin tuju apabila melihat aku bertongkat. Tetapi kalau orang kita? Nan ado. Hanya sebilangan kecil sahaja yang berbuat demikian, yang masih lagi layak dibanggakan sebagai rakyat Malaysia yang bersopan santun dan bertatasusila. Mungkin mereka merasakan small gestures seperti menahan lif atau pintu itu benda yang amat trivial dan insignificant, tetapi kadang-kadang small gestures sebegitulah yang membezakan manusia dengan haiwan. Small gestures sebegitulah yang melengkapkan kita sebagai bangsa bermaruah yang penuh nilai kesopanan, bukannya bangsa yang tamak materialistik semata!



No comments:

Post a Comment