Masih lagi punya 1001 perkara yang harus diselesaikan. Tetapi disipilin aku tidak sehebat orang lain. Kadang-kadang hati memberontak kepenatan, lantas segala kerja itu aku tinggalkan. Ah, bila mungkin aku akan menjadi jutawan bebas hutang jika begini caranya. Kata seorang teman, aku punya terlampau banyak perancangan, tetapi pelaksanaannya aku tidak punya kesabaran. Tidak dinafikan, dia betul 100%.
Aku mempunyai terlampau banyak cabang minat. Dan aku sedikit 'control freak', pantasnya mendelegasikan sesuatu itu agak sukar bagiku. Ketika aku masih menjadi pengamal undang-undang dahulu, ketua ku sering menegur yang aku harus belajar melepaskan sedikit tanggungjawab. Hakikatnya bukannya aku tidak mahu, tetapi aku bukanlah jenis orang yang sabar. Aku tidak suka menerangkan perkara yang sama berulang-ulang tetapi kesilapan yang sama masih lagi dilakukan. Akhirnya, aku yang harus membetulkan semula segala kerja, lebih baik aku yang melakukannya sendiri dari awal!
Mungkin juga aku sedikit ADD. Semua benda aku ingin cuba. Sedangkan aku tidak punya banyak masa. Tetapi prinsipku, belum cuba belum tahu. Sekurang-kurangnya jika aku mendapati apa yang aku cuba itu tidak sesuai dengan minatku, aku boleh mengesahkannya dan mengatakan dengan 100% keyakinan yang aku tidak mahu melakukannya lagi kerana aku telah mencubanya dan mendapati aku tidak punya minat untuk mencubanya lagi. Kenapa perlu kalah sebelum berjuang bukan?
rasanya bila hari semakin bertambah . semakin banyak pula impian kita kan. jangan berputus asa utk mengejarnya
ReplyDelete