Artikel di atas telah disampaikan kepada saya oleh seorang teman di Facebook. Ia melaporkan mengenai para saintis di Australia yang telah membuat kajian ke atas madu dan mendapati madu, terutamanya madu Manukah berupaya membunuh hampir kesemua bakteria dan menyembuhkan penyakit kulit, gigitan serangga dan luka-luka. Penemuan penyelidikan ini telah diterbitkan dalam European Journal of Clinical Microbiology and Infectious Diseases.
Bagi saya, ini bukanlah satu penemuan yang mengejutkan. Ia cuma mengesahkan lagi firman Allah dalam Surah an-Nahl ayat 68-69:
Yang bermaksud:
"Dan Tuhanmu memberi ilham
kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di
pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh
manusia. Kemudian makanlah dari segala
jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah
jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya
kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman
(madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia
(dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada
tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu
berfikir."
Juga terdapat banyak hadith Rasulullah S.A.W yang menerangkan lebih lanjut mengenai khasiat madu. Hadith riwayat Ibn Majah mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Ambillah / pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan AL-QURAN."
Perubatan Islam telah lama mengakui kemujaraban madu. Tetapi malangnya ada sebilangan orang kita meragui apa yang telah disampaikan dan lebih mempercayai perubatan moden dan memerlukan pengesahan daripada saintis-saintis Barat, barulah mereka mengakui dan meyakini apa yang lama telah diberitahu oleh Al-Quran dan nenek moyang mereka.
Hakikatnya, madu telah digunakan dalam perubatan berkurun lamanya, ia adalah salah satu perubatan purba yang diperakui keberkesanannya.
Malahan, dalam dokumen tertua masyarakat Sumer di Mesopotamia bertarikh 2000 S.M yang ditemui, terdapat preskripsi untuk merawat luka dengan menggunakan madu yang dicampur di antaranya dengan debu sungai serta minyak sedar panas(1). Masyarakat purba Mesir telah menyenaraikan hampir 900 kegunaan madu, kebanyakannya dalam bidang perubatan. Dalam dokumen masyarakat Eber di Mesir yang bertarikh 1550 S.M, madu telah disertakan sebagai salah satu bahan dalam hampir 147 preskripsi untuk aplikasi luaran(1). Madu juga digunakan dalam perubatan Cina purba sejak sebelum masihi dan didokumenkan buat pertama kali sekitar 200 T.M. Ia menyenaraikan pelbagai kegunaan madu untuk tujuan perubatan(2). Begitu juga dengan perubatan Ayurvedic purba masyarakat India. Dalam kitab Ayurveda klasik Ashtanga Hridaya yang ditulis sekitar 500 T.M, madu digunakan untuk mengubati pelbagai penyakit, di antaranya untuk menyembuhkan dan membersihkan luka oleh kerana sifat terapeutiknya(3). Madu juga digunakan untuk merawat pneumonia, pleurisi, jangkitan mulut, bisa ular, katarak dan lain-lain penyakit lagi oleh masyarakat Rom dan Mayan(1).
Dalam perubatan tradisional Melayu dan perubatan Islam, disamping merawat penyakit-penyakit seperti lelah, batuk, menghilangkan kahak, sakit perut, gastrik, sakit mata, merawat luka atau melecur, madu juga sudah lama diketahui dapat menguatkan ingatan, mencegah penyakit dan awet muda.
Terdapat satu hadith riwayat Abu Hurairah yang bermaksud:
"Barang siapa yang makan madu tiga kali sebulan pada waktu pagi, dia tidak akan ditimpa penyakit berat"
Ibn Sina, seorang cendekiawan Islam menyatakan bahawa madu boleh menjadikan seseorang itu awet muda dan melancarkan percakapan serta menguatkan semangat.(4)
Ibnu Qayyim dalam kitabnya al-Tibb an-Nabawi ada menyebut bahawa madu yang terbaik ialah yang warnanya putih bening, lentur dan manis. Demikian juga madu yang diambil dari lebah liar (Ibn Qayyim, 1998).
Sekiranya memakan madu, elakkan daripada menggunakan sudu logam. Sebaiknya gunakanlah sudu plastik atau kayu diikuti dengan segelas air masak. Namun, cara terbaik seperti yang diamalkan oleh Rasulullah ialah dengan mencampurkan 1-2 sudu madu ke dalam air suam dan kacau hingga sebati sebelum minum. Ini lebih memudahkan untuk anda mengamalkan pemakanan madu setiap hari memandangkan madu jika dimakan terus akan amat terasa manisnya. Sebagai seorang muslim, sebaiknya sebelum meminum atau memakan madu, dimulakan dengan membaca Bismillah dan selawat ke atas nabi junjungan.
Dari pengalaman saya sendiri, sewaktu saya diserang batuk berbulan-bulan lamanya sehingga diserang asthma, segala bentuk ubat batuk serta pil tidak dapat menyembuhkan batuk saya. Saya juga terpaksa mengambil nebulizer setiap hari untuk mengawal masalah asthma sehinggakan dimasukkan ke wad tetapi tidak berhasil. Baik sedikit sewaktu diberikan ubat tetapi akan menyerang kembali. Kebetulan ada teman yang ke New Zealand, saya meminta agar dibelikan madu Manukah. Saya mengamalkan mengambil madu disamping ubatan yang diberikan doktor. Alhamdulillah, sengsara akibat batuk dan lelah yang berpanjangan hilang akhirnya.
Apa yang ajaibnya mengenai madu, meskipun ia amat manis dan pekat seolah-oleh berlemak, tetapi ia sesuai diamalkan oleh pesakit kencing manis dan darah tinggi/kolestrol sebagai salah satu bentuk rawatan alternatif. Pesakit-pesakit ini disarankan agar mengambil madu sebanyak 3 kali sehari. Insya Allah, dapat mengawal kandungan gula dan kolestrol dalam darah serta tekanan darah. Wallahua'lam. Bersama-samalah kita beramal dengan penyembuh pelbagai penyakit ini.
Nota kaki:
(1) BOGDANOV, Stefan (2012) Honey in Medicine, Bee Product Science, www.bee-hexagon.net; pg 1; JONES, R (2001) Honey and healing through the ages, In Munn, P; Jones, R (eds) Honey and healing, IBRA International Bee Research Association; Cardiff, GB; pp 1-4.
(2) BOGDANOV, Stefan (2012) Honey in Medicine, Bee Product Science, www.bee-hexagon.net; pg 1; SIEDENTOPP, W (2009) Honey: Effective Against Inflammation, Cough and Hoarseness. Deutsche Zeitschrift fuer Akkupunktur 52: DOI: 10.1016/ j .dza.2009.10.004.
(2) BOGDANOV, Stefan (2012) Honey in Medicine, Bee Product Science, www.bee-hexagon.net; pg 1; SIEDENTOPP, W (2009) Honey: Effective Against Inflammation, Cough and Hoarseness. Deutsche Zeitschrift fuer Akkupunktur 52: DOI: 10.1016/ j .dza.2009.10.004.
(3) KRISHNA, R (2005) Therapeutic uses of Honey in Ayurveda.: http://www.ezilon.com/articles/articles/356-1/Therapeutic-uses-of-Honey-in-Ayurveda
(4) Abdul Karim Najib al-Khatib (1994). Madu lebah ubat yang turun bersama wahyu (terj: ) Selangor: Pustaka Ilmi.
(4) Abdul Karim Najib al-Khatib (1994). Madu lebah ubat yang turun bersama wahyu (terj: ) Selangor: Pustaka Ilmi.
No comments:
Post a Comment