Nuffnang

Wednesday, August 29, 2012

Hidup dan Mati

Seorang teman blogger Fillanie baru sahaja kehilangan adik tersayang. Adiknya meninggal secara tiba-tiba sewaktu mereka semua sedang gembira bercuti di Medan pada usia yang masih tersangat muda, baru 28 tahun. Innalillahiwainnalillahirajiu'n. Tak dapat aku bayangkan betapa sedihnya keluarga dia, dahlah tiga beradik saja.

Dulu sewaktu aku mendapat berita adik kepada sahabat rapatku meninggal dunia akibat kemalangan, lemah juga lutut. Aku sangkakan panggilan di dinihari itu hanya prank call tetapi rupa-rupanya memang benar berita itu. Kebetulan polis menjumpai kertas bertulis nama dan nombor telefonku dalam koceknya. Memang nombor itu aku yang berikan sewaktu kami sama-sama menaiki bas dari Kelantan ke Kuala Lumpur. Arwah ketika itu baru seminggu ke Kuala Lumpur setelah mendapat pekerjaan. Memang aku amat terkejut, apatah lagi aku yang membuat pengecaman jenazahnya memandangkan kakaknya yang berada di Kuala Lumpur tidak dapat dihubungi dan keluarganya yang lain jauh di Kelantan. Ketika itu hampir gugur juga jantung apabila menatap wajah arwah yang terbujur kaku memandangkan aku selama ini mengenali arwah sebagai orang yang amat peramah dan suka bergurau. Kelam kabut juga aku menghubungi keluarga arwah di kampung. Tetapi apa yang amat menyedihkan aku ketika itu adalah kerana aku tidak dapat menghubungi kakak arwah, sahabat rapat aku kerana dia kehilangan telefonnya.

Berita-berita kematian orang pada usia yang muda ini membuatkan aku baru tersedar yang aku sebenarnya sangat-sangat beruntung kerana hanya mengalami patah kaki. Sekiranya aku tidak menahan 'crash impact' tu dengan kaki, mungkin aku akan menghentam tebing sungai dada dahulu. Mungkin akan lebih memudaratkan sekiranya tulang rusuk/dada yang cedera, andai kata mengalami internal bleeding, lagi berisiko untuk maut. Selama ini aku sering menganggap kecederaan yang aku alami hanyalah kecederaan kecil, langsung tidak merbahaya. I failed to realize that I have made my husband, my parents, my family and my friends worried sick about me after the incident. Kepada mereka, jutaan maaf dan kesal aku ucapkan atas kecuaian aku. Aku sedar betapa berharganya nyawa tetapi dalam masa yang sama aku tidak ingin menjadikan ketakutan dan kebimbangan itu batu penghalang untuk aku menikmati hidup yang aku inginkan. Aku cuma mampu berjanji yang aku akan lebih berhati-hati, Insya Allah.


2 comments:

  1. Bergenang juga saya baca ceritanya tuh. Ah! Sentimental jadinya.

    Pinjam tisu sat.

    Habuk masuk mata lak.

    ReplyDelete