Nuffnang

Thursday, August 16, 2012

Menjadi Manusia Berkebajikan

Ramadhan cuma tinggal 2 hari saja lagi. Ari Ahad ni Syawal akan menjelang. Hari untuk bersuka ria meraikan kemenangan melawan nafsu di bulan Ramadhan.

Dalam bulan Ramadhan semua orang berlumba-lumba berbuat kebajikan. Bulan Ramadhan saja rumah-rumah kebajikan telah ditempah siap-siap, hampir setiap hari anak-anak yatim/miskin dan orang-orang tua/kurang upaya makan mewah. Hampir setiap malam berbuka di hotel atau restoran. Kalau tidak pun, berbuka dengan lauk pauk lazat dan mewah yang disumbangkan oleh orang ramai. Di hari-hari terakhir Ramadhan, pakaian baru akan disumbangkan. Pendek kata, setahun sekali anak-anak yatim/miskin dan orang-orang tua/kurang upaya akan mewah dengan sumbangan. Masalahnya, tamat sahaja Ramadhan, penjaga anak-anak yatim terpaksa kembali merayu-rayu untuk mendapatkan sumbangan.

Aku tak faham, kenapa hanya bulan Ramadhan sahaja semua orang berlumba-lumba bersedekah? Sedekah tetap sedekah di bulan mana pun. Tetap juga dapat pahala. Anak-anak yatim/miskin dan orang-orang tua/kurang upaya tu masih juga susah selepas raya pun, malahan lebih susah berbanding bulan puasa. Kenapa hanya apabila bulan Ramadhan semua sibuk nak buat saham akhirat sedangkan saham akhirat boleh dibeli pada bila-bila masa.Memang lah pahala bersedekah di bulan Ramadhan ni berlipat kali ganda. Malahan ada hadith yang diriwayatkan oleh Salman r.a yang bermaksud:

"Barangsiapa mendampingkan diri kepada Allah dalam bulan Ramadhan dengan sesuatu dari perkara-perkara kebajikan - samalah seperti ia mengerjakan satu perintah Allah yang diwajibkan pada bulan-bulan yang lain. Dan barangsiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan Allah pada bulan itu - samalah seperti ia menunaikan tujuh perkara yang diwajibkan Allah pada bulan-bulan yang lain".

Dan terdapat satu hadith lain yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a yang bermaksud:

"Nabi S.A.W adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadhan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Qur'an.Jibril menemui beliau setiap malam pada bulan Ramadhan, lalu membacakan kepadanya Al-Qur'an. Rasulullah S.A.W ketika ditemui Jibril lebih dermawan dalam kebaikan daripada angin yang berhembus."

Hadith-hadith ini mestilah dibaca bukan secara literal ya. Hadith kedua mengatakan secara asalnya Rasululullah S.A.W sememangnya seorang yang dermawan dan lebih dermawan lagi pada bulan Ramadhan. Ini menunjukkan Rasulullah S.A.W bersedekah secara konsisten, bukannya hanya menunggu bulan Ramadhan untuk bersedekah. Silapnya dengan sebilangan besar orang kita, bulan Ramadhan saja masing-masing berlumba-lumba untuk bersedekah, habis saja Ramadhan, semua mendiamkan diri. Kadang-kadang RM1 pun susah nak dihulurkan. Masalahnya, cukup sangat ke amalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan tu untuk menampung bulan-bulan lain?

Kenapa orang kita suka mengambil dan mentafsir sesuatu secara harfiah? Sedangkan Islam itu bukanlah harfiah. Islam adalah sesuatu yang menyeluruh, satu cara hidup, bukannya hanya dari segi cara berpakaian sahaja, bukannya hanya mengenai bertudung tidak bertudung. Islam adalah mengenai segalanya, bukan hanya mengenai hudud atau nikah kahwin. Islam bukan hanya mengenai solat, puasa dan menunaikan haji, bukan juga hanya mengenai buat raid untuk tangkap orang berkhalwat! Islam lebih daripada itu!

Kadang-kadang aku rasa Islam yang diajarkan kepada kita juga tidak betul. Pendakwah-pendakwah di negara kita pun jarang sekali yang berjaya menyampaikan keindahan Islam dan kesempurnaan Islam itu sendiri. Lihat sahaja mengenai hudud, bila bercakap megenai hudud semua takut sampaikan ada yang mengatakan hudud tidak sesuai dijalankan pada zaman sekarang kerana kalau tidak semua orang akan kudung tangan. Satu pandangan yang sangat-sangat dangkal daripada seorang ahli politik yang mempunyai kelulusan akademik yang kononnya gah! Hudud bukanlah hanya mengenai hukuman, hudud juga harus dilihat dari segi beban pembuktian! Tahu tak betapa ketatnya beban pembuktian dalam Islam? Kerana undang-undang jinayat Islam bukan bersifat menghukum, tetapi bersifat mencegah. Undang-undang jinayat Islam bermatlamat untuk mengelakkan daripada menghukum orang yang tidak salah, kerana itulah jika diikut betul-betul, kemungkinan besar dalam sejuta pesalah, hanya seorang yang layak dihukum secara hudud. The weight of evidence in Islamic law is not beyond reasonable doubt but instead must be up to the level of certainty!

Untuk bercakap mengenai undang-undang Islam dan beban pembuktian dalam Islam, aku rasa aku memerlukan entri khusus untuk itu. Berbalik kepada menjadi manusia berkebajikan, aku amat-amat tidak bersetuju dengan amalan sesetengah orang yang berlumba-lumba untuk bersedekah, beramal ibadat di bulan Ramadhan tetapi bulan-bulan lain habuk pun tarak. Itu bukanlah ajaran Islam, tentu sekali bukan apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah apabila beliau mengatakan beramal di bulan Ramadhan itu pahalanya berlipat ganda dan satu amalan di bulan Ramadhan seperti menunaikan tujuh amalan di bulan-bulan lain! Hakikatnya, jika kita hanya beramal di bulan Ramadhan sahaja dan mengabaikan bulan-bulan lain, niat beramal di bulan Ramadhan itu saja sudah menyimpang asasnya. Dan yang paling penting, setakat mana kepastian kita yang amalan di bulan Ramadhan itu mencukupi dan diterima Allah? Bolehkah amalan kita di bulan Ramadhan itu menampal segala dosa-dosa yang telah kita lakukan selama 11 bulan yang lain? Jawapannya...lu pikirlah sendiri.

Nota kaki:

Bagi sesiapa yang berminat untuk meneruskan aktiviti kebajikan mereka di bulan-bulan selain bulan Ramadhan, satu kumpulan di Facebook yang menamakan diri mereka Ole-ole Gelandangan @ We Care mengadakan program mengagihkan makanan dan pakaian kepada orang-orang gelandangan di sekitar Kuala Lumpur pada setiap Sabtu malam Ahad. Kutipan sumbangan pula dibuat pada setiap hari Jumaat. Jika berminat untuk menyumbang blh menghubungi mereka.


No comments:

Post a Comment