Nuffnang

Wednesday, March 20, 2013

Counting My Blessings

Ada kawan yang mengeluh kenapa setelah umur menjangkau 30-an atau 40-an masih belum bertemu jodoh. Ada yang merungut setelah bekerja bertahun-tahun masih juga belum naik pangkat. Ada yang kecewa apabila berkali-kali bercinta tapi sentiasa putus di tengah jalan. Ada pula yang mengadu nasib apabila perkahwinan berakhir dengan perceraian dan terpaksa membesarkan anak-anak sendiri. Tidak kurang juga yang tidak tahan kerana anak-anak terlampau nakal, kena pulak bila jarak antara setiap seorang itu dekat-dekat. 

Aku rasa setiap daripada kita diberikan-Nya bahagian masing-masing. Hakikatnya kita sering tidak nampak apa yang kita ada, tetapi lebih mendambakan apa yang kita tidak ada. Aku sentiasa percaya yang Allah itu adil, setiap apa yang direncanakan-Nya itu tersimpan sejuta hikmah. Bukan menidakkan perasaan kecewa, purus asa, penat, kesal dan segala macam perasaan lagi, tidak sama sekali. Bohonglah kalau aku katakan aku tidak kecewa apabila setiap kali dua jalur muncul pada pregancy kit. Tipulah kalau aku canangkan aku tidak cemburu tiap kali mendengar berita kawan-kawan mendapat cahayamata. Demi Allah, tiada apa yang lebih aku dambakan ketika ini selain daripada memeluk mencium zuriat sendiri. Tetapi apabila perasaan kecewa, perasaan marah, perasaan iri hati, perasaan kesal dan duka nestapa itu cuba menguasai diri aku, aku pujuk hati, aku ingatkan diri yang Allah itu Maha Mengetahui, Maha Pemberi Rezeki. Aku sentiasa percaya yang Dia memberikan setiap hamba-Nya bahagian-bahagian yang kita selaku hamba selayaknya dapat. Mungkin kadang-kadang aku rasa tidak adil apabila telah lama berusaha, berhabis-habisan untuk cuba mendapatkan zuriat tetapi setelah bertahun-tahun masih belum nampak bayang, sebaliknya mereka yang langsung tidak berusaha malah tidak menginginkan zuriat senang sahaja hamil. Tetapi bila aku renungkan balik, mungkin belum bahagian aku kerana Dia ingin beri lebih kepada aku dari segi lain. Jadi aku rasa tidak ada apa yang perlu aku iri hati atau sedihkan, sebaliknya aku perlu gembira bagi pihak rakan-rakan atau adik-adik aku yang bakal mendapat cahaya mata. Mungkin belum rezeki aku kerana Dia masih ingin memberi aku peluang untuk berjalan-jalan, beraktiviti hujung minggu atau bekerja keras mengumpul harta tanpa gangguan atau tanggungjawab lain. Sesetengah orang tidak mendapat apa yang aku dapat, dan tidak sepatutnya aku dengki apabila aku tidak dapat apa yang mereka dapat.

Dalam hidup kita ni aku rasa kita tidak boleh terlalu mendambakan sesuatu. Kerana apabila kita terlalu mendambakan sesuatu, terlalu memfokuskan kepada apa yang kita dambakan, kita terlupa akan kenikmatan lain yang kita miliki dan tidak dimiliki oleh orang lain. Apabila itu berlaku, kita akan depress, kita akan sakit jiwa dan tidak mustahil kita boleh jadi gila. Jadi sebaiknya, hargailah apa yang kita ada, dan berusaha lah mencapai apa yang kita mahukan. Kalau kita tak dapat apa yang kita mahukan, tidak mengapa kerana sesungguhnya kita tidak kurang, sebaliknya kita seimbang saja dengan orang lain kerana kita lebih dari segi lain, dan mereka lebih dari segi lain. Hei, jika semua orang memiliki semua benda yang sama, apa bestnya hidup ni? Semua dah jadi sama, jadi kenikmatan memiliki sudah tak ada maknanya.

Kesimpulannya, don't fret, just count your blessings every day!






No comments:

Post a Comment