Nuffnang

Tuesday, July 31, 2012

Random

Banyak pula aku dengar berita orang pregnant. Adik ipar aku pregnant dan si Fillanie ni pun dah pregnant. Setiap kali mendengar berita orang pregnant, aku akan tertanya-tanya bilakah giliran aku akan tiba. Sudah 8 tahun menunggu, almost every month aku buat pregnancy test sebab tak nak kejadian aku pergi ambik injection for senggugut dulu berulang sedangkan sebenarnya bukannya period tapi pregnant. Since period aku tak pernah tetap, kadang-kadang 5-6 bulan pun ada tak datang period, lepas tu period pon kadang-kadang stain je, aku sangkakan aku period dan selamba kodok buat x ray and pegi ambik injection for period pain. Jadi untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang, hampir setiap bulan aku akan buat pregnancy test, tapi kecewa.

Kadang-kadang aku terfikir mungkin aku dan En Hubby sudah ditakdirkan tidak akan mempunyai zuriat. Bulan demi bulan, tahun demi tahun berlalu dan hanya kecewa yang datang. Hinggakan aku rasa seperti sudah tidak mahu mencuba, kerana tiada hasilnya. Biarlah hanya Allah yang menentukan. Andai aku ditakdirkan tidak mempunyai zuriat, biarlah aku menumpang kasih dengan anak-anak saudara sahaja. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang tersembunyi.



Monday, July 30, 2012

Teori Konspirasi

Kita kalau nak mengikut sesuatu, biar mengikut dengan ilmu, jangan membuta tuli mengikut kata orang, nanti akan jadi seperti si buta memberi arahan kepada si pekak, sesat jadinya.

Dalam dunia ini, bukan semua benda yang terjadi itu ada konspirasi di sebaliknya. Orang akan nampak apa yang dia hendak nampak. Motif bunga melur pun akan dilihat seperti pentagram kuno. Sibuk sana sini mengata syiling baru Malaysia adalah konspirasi Freemason. Bila orang bercakap pasal lembu tinggal dalam kondominium, sibuk pulak melaung yang itu konspirasi politik. Bila keluar kenyataan kurma itu lebih berkhasiat daripada epal dan susu kambing itu lebih banyak manfaat dari susu lembu, sibuk melalak kata itu konspirasi Yahudi yang mencanangkan epal boleh menjauhkan doktor (an apple a day can keep the doktor away) dan susu lembu banyak khasiatnya. Hakikatnya, bukan konspirasi yang menjadikan engkau bodoh, engkau sendiri yang malas nak belajar ilmu yang dah diperturunkan Allah.

Sudah banyak dalam hadis nabi yang memperkatakan tentang kebaikan kurma dan susu kambing. Nabi Muhammad S.A.W sendiri mengamalkan minum susu kambing dan memakan kurma. Perkara ini banyak diutarakan dalam kitab-kitab dan hadith. Malahan al-Quran dalam Surah Maryam ayat 25 telah menyebut mengenai khasiat kurma:


"Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak." 

Nah! Perkara ini telah diterangkan sejelas-jelasnya di dalam al-Quran dan sirah Nabi. Celiklah mata sedikit, bukannya konspirasi Yahudi yang memperbodohkan kamu, tetapi kemalasan dan kejahilan sendiri lah yang memperbodohkan kamu.

Tapi yang peliknya, terlampau cepat kamu percaya teori konspirasi. Bila orang mengatakan susu kambing itulah yang diminum kaum Yahudi dan bukannya susu lembu, semua sibuk meninggalkan susu lembu dan mencari susu kambing. Alahai ceteknya pemikiran. Dalam Quran telah banyak mengatakan mengenai khasiat susu, tanpa menyebut susu lembu atau kambing. 


"Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya" (Surah an-Nahl:66)


dan 


"Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan (tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya); Kami beri kamu minum dari susu yang ada dalam perutnya, dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya; dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki penghidupan kamu." (Surah Al-Mu'minun:21)


Al-Quran telah mengatakan bahawa susu itu baik. Bukan hanya susu kambing sahaja, susu binatang ternakan lain juga seperti lembu, biri-biri dan unta. Jangan jadi bodoh, benda yang baik jangan diperburukkan dengan momokan orang!

Hakikatnya, orang kita suka sangat bertaqlid, mengikut membabi buta. Itulah yang merisaukan Rasulullah satu ketika dulu. Kalau nak mengikut pun, ikut la dengan ilmu. Islam itu luas dan mudah, Islam tidak pernah melarang ijtihad, malahan Islam paling menggalakkan umatnya menggunakan akal. 

Seperti gerakan boikot satu ketika dulu. Cuba guna akal sedikit, jangan boikot membabi buta. Kalau kita boikot barangan yang memang terang-terang dibuat di Israel atau menyumbangkan duit kepada Israel memanglah bagus. Tetapi...ada tapinya. Bukan semua barangan yang jenama asalnya daripada US atau Israel adalah milik US atau Israel! Contohnya KFC dan McD. KFC dan McD adalah berkonsepkan francais, yakni yuran francais yang tetap dibayar kepada pemilik francais. Keuntungan atau kerugian outlet-outlet di Malaysia tidak akan memberi impak kepada pemilik francais kerana mereka akan tetap mendapat bayaran yang sama setiap tahun. Tetapi kalau boikot tersebut benar-benar berkesan dan outlet-outlet tersebut ditutup, yang akan merana adalah pekerja-pekerja outlet-outlet tersebut, yang sebahagian besarnya adalah warganegara Malaysia dan beragama Islam! 

Masalah dengan orang kita, terlalu selesa menjadi pak turut. Kita tidak pernah mempersoalkan apa, kenapa, mengapa. Sebagai contoh, masih ada lagi antara orang kita yang berfikiran untuk menunaikan solat, telekung itu adalah wajib. Apabila ada yang bersolat tanpa mengenakan telekung, masing-masing pandang macam orang itu telah melakukan dosa besar, solatnya tidak sah. Sedangkan hakikatnya untuk bersolat, telekung itu tidak wajib, yang wajib adalah kita menutup aurat untuk menghadap yang Maha Pencipta!

Sememangnya Islam mengajar kita agar berhati-hati dengan dakyah dan dakwah mereka yang cuba menjatuhkah Islam, tetapi Islam tidak pernah mengajar kita menjadi bodoh. Apabila Yahudi maju, kita kata mereka maju kerana menindas Islam. Hakikatnya mereka maju kerana mereka bijak mencuri ilmu yang telah diperturunkan Allah, bukan seperti kita yang hanya melaung-laung bahawa kita ditindas, saudara seagama kita disiksa tetapi tidak berbuat apa-apa pun tetapi sebaliknya lebih banyak menunjukkan betapa mudahnya kita diperbodohkan!


Ramadhan di Kelantan

Panas. Kebelakangan ini bumi Kelantan memang panas. Maklumlah, iklim di Kelantan dipengaruhi oleh iklim tropika seperti di Thailand, jadi bahangnya amat terasa. Baru sahaja mandi dah terasa seperti mahu mandi lagi. Alangkah nikmatnya kalau dapat berendam di jeram atau air terjun yang sejuk dan menyegarkan.

Sudah lama saya tidak merasai berpuasa di Kelantan.  Sebetulnya, sama sahaja seperti tempat-tempat lain. Cumanya di Kelantan ini bagi saya lebih meriah pengisiannya. Saya teringat sewaktu saya masih menuntut di universiti, ketika kerajaan di Kelantan masih baru dua tiga tahun bertukar tangan. Tempat yang paling saya gemari untuk mendapatkan juadah ialah di dataran Padang Bas iaitu bersebelahan Terminal bas henti-henti di Kota Bharu. Bermacam juadah boleh didapati di situ dan yang paling best ialah apabila tidak sempat pulang untuk berbuka di rumah atau mendapatkan tempat berbuka, juadah berbuka percuma disediakan di bawah khemah yang tersergam indah secara percuma. Juadah ini disediakan untuk semua orang, terutama sekali golongan fakir miskin, musafir dan para peniaga pasar besar Khadijah yang baru sahaja menutup kedai dan tidak sempat mendapatkan juadah berbuka. Ia disediakan untuk mengelakkan daripada orang ramai melewatkan waktu berbuka, kerana seperti yang kita ketahui ianya adalah makruh. Meskipun sekadar kurma dan kuih muih, tetapi cukuplah untuk mengisi perut sebelum masing-masing bersolat terawih bersama di dalam khemah yang disediakan di dataran tersebut. Sekarang, apabila dataran tersebut semakin sempit dan tidak dapat memuatkan jemaah, lokasinya dipindahkan ke stadium Sultan Muhammad. Khemah berhawa dingin yang mampu memuatkan hampir 2,000 jemaah didirikan. Diluar juga disediakan sejadah seandainya khemah penuh. Juadah berbuka masih lagi disediakan secara percuma. Jadi tiada alasan untuk melewatkan waktu berbuka dan untuk tidak sama-sama mengimarahkan Ramadhan.

Pemandangan dalam khemah berhawa dingin (Gambar ihsan En Google)

Pemandangan di luar khemah

Kemeriahan berpuasa di Kelantan juga boleh dilihat pada juadah yang beraneka rupa. Pada bulan puasalah pelbagai juadah yang sukar diperolehi pada bulan-bulan biasa banyak dijual. Kuih muih seperti nekbat, akok, jala mas, buah tanjung, tahi itik, poli, ekor kucing, puteri mandi, lompat tikam, serabai, tepung boko, kole kacang dan sebagainya yang pelbagai bentuk dan warna memeriahkan bazar-bazar Ramadhan di sekitar Kelantan.

Antara kuih muih tradisional Kelantan

Itu belum dikira juadah hanya membuat kemunculan pada bulan puasa seperti kerabu sare dan jeruk maman.

Kerabu sare (gambar ihsan En Google)

Mungkin kerana saya masih lagi tebal Kelantannya, tiap kali bulan Ramadhan, saya tentu tercari-cari juadah Kelantan. Bila berada jauh dari negeri kelahiran, seringkali yang dibeli tidak terasa keasliannya. Jadi, kesempatan berpuasa dua minggu di rumah ini saya pergunakan sebaik mungkin untuk menikmati kembali juadah-juadah kegemaran saya.

Tetapi, makan makan juga. Kesihatan dan sikap berjimat cermat jangan dilupa. Kebanyakan kuih muih Kelantan ini manis rasanya, malah lauk pauknya juga agak manis. Kena berhati-hati bila membeli, serta beringat jangan terlebih beli sehinggakan penuh satu peti sejuk. Akibatnya, habis sahaja Ramadhan, kuih muih itu semua jadi makanan tong sampah!
 

Sunday, July 29, 2012

RESEPI COLEK MALAS AKA CUCUR UDANG

Simple savoury 'kuih' for iftar, colek malas aka cucur udang versi Kelantan.

COLEK MALAS AKA CUCUR UDANG

Bahan-bahan untuk cucur:

4 cawan tepung
5-6 ekor udang sederhana besar (dipotong kecil)
setengah ikat kangkung (dipotong)
1 sudu besar soda bikarbonat
Garam secukup rasa
Air

Cara-caranya:
  1. Masukkan tepung udang, soda bikarbonat dan kangkung yang telah dipotong ke dalam mangkuk. Bancuh bersama air (bercampur garam) sehingga menjadi bater pekat (seperti bater cekodok). Biarkan utk seketika (dlm 30 min-1 jam) sehingga kembang/naik.
  2. Goreng dalam minyak panas mengikut saiz yang disukai.
  3. Apabila telah garing, boleh diangkat dan dipotong sebelum dihidangkan bersama colek i.e. pencicah.
Bahan-bahan utk colek/pencicah:

2-3 sudu besar cili kering yang telah dikisar
3-4 sudu besar asam jawa (dibancuh bersama air)
Gula melaka dan garam secukup rasa
sedikit tepung jagung yang dibancuh dgn air

Cara-caranya:
  1. Masukkan cili kering, air asam jawa dan gula melaka serta garam ke dalam periuk. Masak di atas apa yg sederhana besar. Jika sukakannya lagi masam, boleh ditambah cuka. Apabila menggelegak, masukkan tepung jagung dan biarkan sehingga agak pekat. Tutup api dan boleh dihidang bersama cucur tadi.
Nota tapak tangan:
Resepi cucur di atas adalah resepi paling malas, kalau resepi kurang malas, boleh dimasukkan bawang yg telah dipotong dadu, daun kucai dan taugeh. Ada juga sesetengah orang yang meletakkan sedikit mentega dan telur. Terpulanglah kepada kesesuaian selera masing-masing.


Baju Raya

(Amaran! Sila baca entri ini dengan pemikiran yang sihat. Kalau terasa ada taik kuning naik ke kepala apabila terbaca sahaja perkataan 'tetek', sila berhenti membaca dengan segera dan dapatkan nasihat pakar untuk mengeluarkan taik dari kepala)

Puasa baru seminggu lebih, aku dah sibuk-sibuk pikir pasal baju raya. Tahun ni macam tak ada mood nk beraya sebab aku masih lagi berjalan macam model catwalk patah sebelah tumit kasut. Tapi nak la jugak kena ada baju raya ya dok? Takkan la nak pakai baju kurung zaman Matriks pegi corporate open house nanti. 

Dah banyak tahun jugak dah aku beli je baju raya. Senang dan mudah. Pilihan aku biasanya baju kurung atau jubah je, kebaya ke, kelawar ke bukanlah pilihan aku. Even zaman anak dara dulu pun boleh dikira dengan jari berapa kali je aku pakai kebaya, normally aku lagi prefer kebarung dari kebaya. Kalau terpaksa buat kebaya sebab dah terbeli kain yang memang disulam untuk dijadikan kebaya, aku akan pastikan ianya longgar. Bagi wanita berdada besar macam aku ni, kena berhati-hati dalam berpakaian. Kadang-kadang pakaian yang nampak sopan di badan wanita lain akan nampak kurang sopan di badan aku. Pilihan kain pun kena berhati-hati jugak, aku dah dua tiga kali terbeli t-shirt yang jenis kain melekap sebab terpengaruh dengan harga murah, akhirnya tak dipakai kerana nampak sangat la indecent.

Kena pulak sekarang ni bahagian lain pun ikut sama mengembang, kira gebu menggebus gitu, lagi la kena berhati-hati. Kalau tak terserlah segala kegebuan di perut dan dipinggang nanti. Tak pasal-pasal rasa nak bagi pelempang free kat orang kalau orang bertanya dah berapa bulan mengandung.

Badan bentuk epal macam aku ni memang la hazab nak cari baju. Atas besar bawah kecik. Skinny jeans is a definite no-no, or else aku akan nampak seperti gajah berkaki zirafah. Kalau nak cari kemeja pun satu hal, badan dah ngam tapi tang tu pulak tak boleh nak butangkan. Kalau boleh dibutangkan pulak, bahagian badan akan nampak gedebos, macam pakai kelambu pon ada. Sebab tu la aku prefer pakai tshirt atau blouse jenis sarung je. Jangan mimpi la nak pakai corporate attire bagai, kalau nak pakai kemeja dengan seluar aku kena pastikan aku pakai jaket sentiasa. Kalau tidak, adanya nanti orang, terutama lelaki bercakap dengan dada aku bukannya dengan aku. Tiba-tiba je muka aku beralih kat dada nanti.

Seriously, sometimes I don't understand what is it with men and breasts? Kalau nampak perempuan seksi bertetek besar menggelupur macam ikan keli kena siang! Kecik-kecik dulu tak puas hisap tetek mak agaknya. Atau mungkin ada yang kena culik dan disorokkan hantu tetek, sebab tu ada yang kena Stockholm Syndrome, menggelupur teringatkan hantu tetek si penculik bila ternampak perempuan seksi bertetek besar.