Nuffnang

Tuesday, January 1, 2013

Selamat tinggal 2012 dan selamat datang 2013

Hari ni hari terakhir untuk tahun 2012. Masanya sudah tiba untuk tutup buku lama dan buka buku baru. Jam-jam terakhir untuk merenung dan menilai kembali apa yang telah dilakukan serta dicapai sepanjang setahun yang berlalu.

Corat coret 2012 bagi aku tidak semuanya indah. Ada suka dan ada duka. Daripada menyambut anak buah baru, mendapat kerja baru hinggalah kepada ditipu orang dan ditimpa kemalangan. Tetapi Alhamdulillah, semuanya sarat hikmah. 

2012 mengajar aku betapa sukarnya menjadi manusia yang ditarik sekejap nikmat bergerak. Dan betapa Allah masih menyayangi dan membenarkan aku untuk melihat keindahan alam ciptaan-Nya. Apabila direnung kemalangan yang aku alami, baru aku tersedar yang ia mungkin meragut nyawa dan betapa bersyukurnya aku kerana terselamat dengan hanya kaki yang patah.

3 bulan terlantar dan mengharapkan bantuan orang untuk berbuat segalanya cukup menginsafkan, benar-benar membuatkan aku berasa 'helpless'. Apatah lagi apabila 2 minggu di hospital, jauh drp sanak saudara dan hanya ditemani suami yang setia melayan karenahku benar-benar menguji ketahanan mental. Memang hampir gila dibuatnya apabila langsung tidak boleh bergerak dan perlu dibantu untuk membuat segala aktiviti. Mandi pun hanya suami yang membantu lapkan badan. Berak kencing juga suami yang uruskan segala. Mujur suami ada disisi, dialah yang memujuk bila aku menangis akibat terlampau lama menunggu untuk dibedah. Dialah yang menyabarkan bila aku merintih tidak tahan berada di hospital dan ingin segera pulang ke rumah bersama keluarga. Dialah juga yang setia melayan dan membasuh najis bila aku terkena cirit birit di hospital. Katanya, kalau itu tidak cukup untuk membuktikan cinta kasihnya pada aku, dia tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan.

Bila kembali ke kampung, ibu pula yang mengambil alih membantu memandikan, memakaikan baju, menyediakan makan minum dan segalanya. Memang cukup mencabar ego dan menjentik naluri. Di usia begini, sepatutnya aku yang menjaga ibu dan ayah tetapi mereka perlu kembali menjaga aku.
Tetapi Allah masih memberikan bahagia di saat terlantar sebegitu. Anak saudaraku yang ketiga lahir sewaktu aku berada di kampung. Jika aku tidak kemalangan dan bekerja, tentunya aku tidak mampu untuk mencium dan memeluk anak buahku yang baru berusia 1 hari ketika itu!

Pertengahan 2012 juga memberikan kelapangan rezeki buat aku setelah bulan-bulan terawal 2012 lebih banyak dihiasi dengan perasaan tertekan dengan keadaan di tempat kerja. Alhamdulillah, Allah membukakan aku pintu rezeki di dalam bidang baru yang ingin aku ceburi. Agak terkial-kial, tetapi aku banyak belajar dan masih diberikan nafas untuk belajar.

2012 juga memberikan aku rakan-rakan baru yang harapnya akan kekal menjadi sahabat yang rapat. Meskipun 2012 menyaksikan ada yang rapat menjadi renggang, tetapi aku berharap semoga 2013 menaut dan merapat kembali jarak yang makin menjurang itu. 

Semoga 2013 menjanjikan sesuatu yang lebih baik buatku dan keluargaku. Semoga kakiku pulih sepenuhnya dan aku boleh kembali melakukan aktiviti yang aku gemari. Semoga 2013 menjadi tahun yang barakah dan dilimpahi rahmat, kegembiraan serta kejayaan. In shaa Allah.

No comments:

Post a Comment