Nuffnang

Thursday, September 6, 2012

Membuntal Time

Terbaekkkk! Ari ni ada 2 corporate open house, 2-2 opis lama aku. Aku pilih pegi satu je. Ari Sabtu ni pulak aku ada 4 open house, satu kat rumah sepupu aku di Subang, lepas tu rumah si Diana n kawan baik aku masa kat universiti di Putra Avenue, satu lagi kt rumah ex-office mate kat Kajang. Aku cuma mampu pegi 3 je kot, tu pon sebab dekat-dekat. Lagipun tahun lepas aku dah tak pegi rumah Diana si Epal Ijo ni sbb aku terbongkang tertidur kt rumah, tahun ni wajib la pegi sebab nak ambik Ephyra skalik. Lagipun melampau la kan kalau aku pegi umah kawan aku yang cuma sepelaung je dari rumah si Di ni tapi tak singgah rumah dia. Memang sumpah kena maki dengan minah ni n after that dia haramkan dirinya dari jemput aku.

Ari Ahad pun aku ada 4 rumah. Tapi kali ni masalah sikit sebab semua jauh-jauh jarak dia. Satu rumah si Elly in Wonderland ni di Serenia Ukay, satu rumah superfren si Mek Han di Sri Damansara, satu lagi rumah dua pupu aku di Puchong dan last sekali rumah rakan lama chatter Yahoo, Ayu Syah n Interframe di Bukit Jelutong. Dah la masa open house masing-masing lebih kurang sama je. Mana satu aku nak pergi ni? Semua pulak berpotensi untuk memaki aku kalau aku tak pegi, especially si Elly n Mek Han.

Jawabnya sampai sudah la aku tak puasa sunat 6. Asyik ada jemputan untuk membuntalkan badan je ni. Minggu depan pun macam ala-ala sudah penuh kalendar dgn acara makan-makan. Tu la,sape suruh tak start awal-awal, padan muka aku. Aku rasa berat yang hilang masa aku dlm healing process ari tu dah berganda-ganda dapat balik ni. Dah la treatment Mayfair pun dah lama tak pergi padahal gynae nasihatkan aku untuk turunkan berat badan dan bukan hanya mengangkang sahaja kalau nak ada anak.

Haish! Dijemput makan pun dilema, macam mana kalau kebulur macam orang di Afrika? (Nauzubillah, sesungguhnya aku bersyukur ya Allah).


Nota tapak kaki:

Aku masih lagi takjub sebetulnya bagaimana internet, terutama blog merapatkan silaturrahim orang. Aku bersyukur kerana bertemu rakan-rakan yang hebat melalui laman maya khususnya blog. Terima kasih Mek Han, Di n Elly kerana jemput aku. Semoga ukhwah kita sentiasa berpanjangan.



Wednesday, September 5, 2012

Cemburu dan Iri Hati

Kadang-kadang kita ni terlalu senang cemburu dan iri hati dengan apa yang ada pada orang lain. Kita nampak kawan kita yang masa sekolah keputusan peperiksaannya tidaklah semenggah mana berjaya dalam kerjaya, pegang pangkat tinggi dan bergaji besar, kita cemburu, kita jadi iri hati. Bila keluar bersama kawan yang cantik manis dan tumpuan lelaki lebih kepadanya, kita jadi cemburu, jadi iri hati. Bila rakan lain yang kahwin lagi lewat daripada kita dapat anak lebih awal daripada kita, kita cemburu, kita iri hati. Bila rakan kita dapat suami handsome, bergaya dan kaya, kita cemburu, kita iri hati. Bila rakan sekerja yang menyertai syarikat lebih lewat daripada kita naik pangkat, kita cemburu, kita iri hati. Bila rakan kita mampu membeli rumah yang besar, kita cemburu, kita iri hati. Pendek kata, semua apa yang ada pada orang dan tidak ada pada kita, kita jadi cemburu, kita jadi iri hati.

Tetapi kita tidak pernah nampak apa yang kita tidak ingin nampak. Kita cuma melihat apa yang kita mahu lihat, kadang-kadang yang sebaliknya terpampang di depan mata kita tidak endahkan, kita tutup mata kita dari melihat kerana kita terlalu asyik melayan rasa cemburu dan iri hati. Kita rasakan kita lebih layak memiliki apa yang dimiliki orang lain. Bila orang lain berjaya, hati cemburu dan iri hati kita mengatakan yang mereka menggunakan cara yang tidak baik untuk berjaya.

Kita tidak nampak kawan kita yang tidak semenggah akademik itu sebenarnya bekerja kuat untuk mendapat kerjaya yang berjaya, yang sebenarnya kawan kita yang lemah akademik itu bijak ilmu kehidupan, tidak pernah melepaskan peluang dan sentiasa mencuri ruang. Bukan seperti kita yang hanya merungut dan menjuih cemburu.

Kita tidak nampak yang kawan kita si cantik manis yang menjadi tumpuan lelaki itu sentiasa kecewa dalam cinta dan belum bertemu jodoh kerana lelaki lebih tertarik kepada kecantikannya berbanding peribadinya. Atau jodohnya lambat sampai kerana dia tidak dapat memastikan siapa yang lebih mencintainya kerana terlalu banyak pilihan.

Kita tidak nampak yang kawan kita yang kahwin lewat tetapi dapat anak lagi awal daripada kita itu selama ini tidak putus-putus berdoa agar diketemukan jodoh. Betapa kawan kita itu bertahun-tahun memendam perasaan digelar andartu.

Kita tidak nampak yang kawan kita yang tidak cantik tetapi bersuamikan lelaki handsome, bergaya dan kaya itu sebenarnya lebih cantik daripada kita kerana peribadinya, bukan kerana rupanya. Kita tidak nampak yang kawan kita yang cantik jelita dan bersuamikan lelaki handsome, bergaya dan kaya sebenarnya menderita kerana suaminya menduakannya. Atau suaminya rupa-rupanya tidak berselera dengannya kerana lebih berselera dengan yang sejenis.

Kita tidak nampak yang rakan sekerja kita naik pangkat kerana dia berusaha keras, berdedikasi dalam bekerja. Tidak pernah lewat, sentiasa tiba ke pejabat awal dan pulang lewat. Tugasan tidak pernah tertangguh.Bukan seperti kita yang sudahlah tiba ke pejabat lewat, tugasan asyik tertangguh, asyik pula melayan FB atau update blog di waktu pejabat (eh?!).

Kita tidak nampak yang kawan kita mampu beli rumah yang besar kerana dia berusaha keras menabung untuk mendapatkannya. Bukan seperti kita yang belum sampai pertengahan bulan, gaji sudah habis ditabur ke kelab-kelab ronggeng atau kaunter-kaunter mekap dan handbag (bukan aku, aku tak buat).

Kita tidak sedar yang sebenarnya Allah memberikan rezeki dalam pelbagai bentuk, kadang-kadang kita tidak nampak. Rezeki yang Allah kasi itu sebenarnya sudah di 'tailor made' untuk kita. Mungkin kita tidak mempunyai kerjaya yang berjaya tetapi kita mempunyai keluarga yang bahagia. Mungkin kita tidak mempunyai peminat yang ramai tetapi kita mempunyai kekasih yang setia. Mungkin kita tidak mempunyai zuriat tetapi kita mempunyai suami yang menyokong. Mungkin kita tidak mempunyai suami yang kaya dan bergaya tetapi kita mempunyai suami yang penyayang. Mungkin kita tidak naik pangkat tetapi kerja kita tidak mempunyai tekanan dan ada ruang untuk kita bersosial bersama rakan-rakan. Mungkin kita tidak mempunyai rumah yang besar tetapi keluarga kita kecil, tidak perlu rumah yang besar dan tidak terlalu penat untuk mengemas. Hakikatnya, kita ini manusia yang lupa untuk bersyukur, lupa untuk melihat juga kesusahan orang dan bukannya hanya cemburu dengan kesenangan orang. Dan kita ini juga manusia yang malas berusaha, hanya tahu mengeluh, tidak puas hati, cemburu, iri hati sedangkan kita sendiri tidak pernah berusaha untuk mencapai apa yang orang lain capai. Ringkas cerita, kalau malas, kalau takut gagal, jangan mimpi mahu jadi kaya, jangan mimpi mahu berjaya. Sebenarnya tiada alasan untuk berjaya, yang ada hanyalah alasan untuk tidak berusaha mendapatkannya.

Nota ibu jari:

"There are three kinds of people: those who let it happen, those who make it happen, and those who wonder what happened." —John Richardson



Tuesday, September 4, 2012

Merancang untuk Perkara yang Tidak Dirancang

Dalam hidup ini tidak semua yang kita rancang akan menjadi kenyataan. Jadi perlu juga ada perancangan untuk perkara yang tidak dirancang. Contohnya, aku tidak pernah merancang untuk berjiran dengan orang yang memelihara anjing dan kucing serta binatang lain, yang kemudiannya tidak tahu menjaga kebersihan dan kesegaran udara yang dihirup oleh jiran sekeliling, yang tidak faham atau buat-buat tidak faham bahawa kawasan perumahan rumah teres berangkai bukanlah zoo negara, yang masih tolol untuk mengerti bahawa depan pagar jiran bukanlah lot parking kereta.

Jadi, apabila berlakunya perkara yang tidak dirancang dan aku tidak membuat perancangan untuk menghadapi perkara yang tidak dirancang, apa yang patut aku lakukan? Jawabnya tutup hidung, masuk pagar, masuk rumah, tutup tingkap, tutup pintu dan sembur pewangi banyak-banyak. Atau menekan hon kereta setiap kali mahu memandu keluar apabila ada si jakun rabun yang melihat ruang di depan pagar rumah sepertinya ada kotak untuk meletak kenderaan. Aduhhh, selamanya mahu tersiksa dengan keadaan? Itulah padahnya apabila tidak merancang untuk perkara yang tidak dirancang, kalau merancang, dari umur setahun jagung sudah dikumpul RM1 sehari, agaknya sudah mampu memiliki banglo sekarang. Sudah mampu ku bina pagar 10 kaki tinggi, biar tidak mampu dipanjat kucing, biar tidak terdengar disalak anjing!

Dan agaknya, sekarang ini aku sudah bersenang lenang, upah sahaja En Adam untuk update blog ini dengan kisah-kisah Lucasnya!



Monday, September 3, 2012

Mimpi

Mimpi
Kadang-kadang indah kadang-kadang penuh ghairah
Kadang-kadang duka kadang-kadang berair mata

Mimpi
Kadang-kadang suka kadang-kadang derita
Kadang-kadang satu cuba kadang-kadang hanya cerita

Mimpi itu
Biarlah hanya aku yang tahu saja




Merdeka, Balik Kampung dan Open House

Merdeka! Merdeka! Merdeka! For me, it is never too late to wish Selamat Hari Merdeka!

Apa erti merdeka bagi anda? Merdeka bagi saya bukan hanya dengan memacakkan, mengibarkan atau meletakkan Jalur Gemilang di kereta-kereta, di tiang-tiang bendera atau di rumah-rumah kita semua. Kurang patriotikkah saya seandainya saya tidak mengibarkan atau meletakkan bendera Jalur Gemilang di kereta atau di rumah saya? Saya rasa patriotisme adalah sesuatu yang lebih dalam, lebih 'deep' daripada mengibarkan dan meletakkan bendera di kereta-kereta atau di premis-premis kediaman, pejabat mahupun perniagaan. Saya ada sebab tersendiri kenapa saya tidak suka mengibarkan atau meletakkan Jalur Gemilang di kereta saya. Dan saya rasa dengan tidak meletekkan Jalur Gemilang di kereta atau di rumah saya tidak menjadikan saya kurang patriotik berbanding orang lain yang berbuat demikian. Malahan saya memutuskan untuk tidak mengibarkan dan meletakkan Jalur Gemilang di kereta atau rumah saya atas sebab yang saya rasakan cukup patriotik. Saya tidak suka bendera kebanggaan negara saya suram, pudar dan berserabut dengan segala macam kotoran, daripada air hujan, debu hingga ke selut berlumur mencemari sesuatu yang saya banggakan. Dan sekiranya saya meletakkannya di kereta saya, seandainya bendera tersebut tercabut ditiup angin, ia akan tersadai di atas jalan atau ditepi jalan, digilis, dipijak dan diinjak oleh pelbagai kenderaan, manusia dan binatang sehingga renyuk, comot dan seperti kain buruk. Akhirnya, Jalur Gemilang yang sepatutnya menjadi kemegahan terbiar sepi tidak dihiraukan.

Saya rasa pengertian MERDEKA sudah semakin dikomersilkan nilainya. Kenapa perlu memberikan penghargaan kepada Jalur Gemilang hanya pada bulan Ogos? Sedar tidak sedar, selepas sambutan 31 Ogos sahaja Jalur Gemilang terbiar menjadi sampah sarap di Dataran Merdeka, stadium-stadium atau di mana sahaja sambutan kemerdekaan diadakan. Sesuatu yang amat menyedihkan dan amat menghina saya rasa. Dan tahun ini, penghinaan itu berganda apabila ada yang menjalankan piket untuk menukar Jalur Gemilang kononnya. Sebabnya, sekali lagi, konspirasi kononnya Jalur Gemilang direka agar menyerupai bendera Amerika Syarikat! Aduh! Cetek sungguh pemikiran rakyat Malaysia ini. Mudah benar terpengaruh dengan dakyah dan propaganda yang sebetulnya merupakan cubaan untuk memecah belahkan dan mengganggu gugat keharmonian negara.

Satu lagi yang saya tidak suka mengenai sambutan kemerdekaan, yang mana saya rasakan merupakan penghinaan kepada perjuangan nenek moyang kita yang berhempas pulas, bermandi darah membebaskan negara daripada tangan penjajah. Kenapa perlu dibazirkan wang dengan sambutan besar-besaran, pertunjukan bunga api, persembahan artis-artis dan sebagainya? Tiba sahaja ambang merdeka, bermacam-macam jenis orang yang keluar untuk menyambut kemerdekaan kononnya, tetapi mereka tidak sedar mereka sebenarnya terjajah rohani, terjajah pemikiran. Sudah berapa banyak kita dengar mengenai kisah-kisah rogol, mabuk dan seks bebas yang terjadi pada malam kemerdekaan? Belum lagi cerita mengenai vandalisme dan kemusnahan harta benda yang berlaku. Pernah sekali sewaktu saya bekerja di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, saya terpaksa pulang lewat kerana menyiapkan tugasan yang melambak. Waktu itu sudah pukul 10 lebih malam. Di sekitar Sogo dan Pertama Complex bermacam jenis manusia yang saya nampak, saya pun tidak pasti sama ada itu manusia, jin atau hantu. Dengan rambut tercacaknya, rambut trojan yang warna warninya dan ada juga yang tidak berambut terus.Bersubang di telinga, bersubang di hidung malahan di lidah dan entah mana lagi tempat yang sensitif dan tidak wajar disebut agaknya. Memakai pula pakaian yang pelik-pelik, gelang tangan yang bergerigis-gerigis, choker yang berpaku (teori saya mereka mengeluarkan pepaku dari kasut bola dan memakainya dileher). Mereka semua menakutkan saya! Malahan ada dua tiga orang daripada mereka yang bertindak mengetuk, memukul dan menumbuk teksi yang saya naiki!

Ia membuatkan saya tertanya, itukah erti merdeka bagi rakyat Malaysia? Terutama sekali bagi muda mudi pewaris negara? Dan kenapa kerajaan sepertinya tidak sedar tentang hal ini? Meneruskan lagi dengan sambutan yang seolah-olah menggalakkan mereka keluar lewat malam dan bergaul bebas? 

Tahun ini ada sesuatu yang saya kesalkan apabila bercerita mengenai kemerdekaan. Menjadi seorang yang separa kurang upaya untuk sementara waktu, saya seperti dikejutkan hakikat bahawa setelah 55 tahun merdeka, rupa-rupanya golongan kurang upaya masih terpinggir dan dipinggirkan. Cuti 3 hari yang ada, saya merebut peluang untuk pulang ke Kelantan dan beraya bersama keluarga sebelah saya. Sepanjang perjalanan, dua tiga kali kami berhenti di stesen minyak untuk buang air dan merehatkan badan. Apa yang menyedihkan, kebanyakan stesen-stesen minyak ini tidak menyediakan kemudahan untuk golongan kurang upaya. Jangankan tandas khusus untuk golongan ini, tandas duduk pun tidak ada. Kemudian apabila tiba di Gua Musang, kami berhenti di hentian R&R yang baru dibuka. R&R ini ada menyediakan tandas khusus untuk golongan kurang upaya tetapi dikunci pula. Di pintu tandas tertampal notis yang mengatakan kunci perlu diminta daripada penyelia yang bertugas. Tetapi penyelia yang bertugas langsung tidak kelihatan. Bayangkan, R&R itu dipenuhi orang dan agak luas, sudahlah mahu terkencing, perlu pula mencari penyelia yang entah di mana berada. Bagi saya yang sedang dalam proses penyembuhan ini, mungkin boleh digagahkan terhincut-hincut ke tandas biasa, tetapi bagaimana pula bagi mereka yang lumpuh, kudung atau orang tua yang sudah tidak larat?

Sudahlah  apabila terhincut-hincut ke tandas awam yang biasa, saya dapati semua tandas duduknya tidak mempunyai pelapik. Bagaimana mahu duduk? Apa semua wanita perlu kencing berdiri seperti lelakikah? Akhirnya saya terpaksa menggunakan tandas cangkung, menahan sakit mencangkuk dengan sebelah kaki, dan bila mahu bangun amat seksa kerana tiada tempat untuk berpegang, terpaksa melonjakkan diri dengan berpegang pada kepala paip dan kemudian dinding. Bayangkan jika orang tua seperti nenek saya yang sudah bongkok dan tidak mampu mencangkung...agaknya sudah terkencing di dalam pakaian jadinya.

Sepanjang perjalanan juga saya dapati banyak bukit dan hutan, terutama sekali sepanjang Raub hingga ke Kuala Lipis yang ditarah dan ditebang. Saya juga dapat tahu yang Tasik Chini juga sudah bertukar rupa, sudah tiada keindahannya kerana terdapat aktiviti perlombongan yang dijalankan berhampiran. Apa sudah jadi? Inikah merdeka yang kita inginkan? Memerdekakan bumi Malaysia daripada hutan belukar yang memberikan kita semua sumber oksigen dan menapis pencemaran? Memerdekakan warisan hutan Malaysia yang indah ini? Hakikat yang tidak boleh disangkal, merdeka Malaysia belum ada makna kerana masih ramai yang belum merdeka hati dan akal daripada tamak dan haloba.

Sedih, amat menyedihkan sekali kerana kita terlampau taksub mahu menjadi maju sedangkan kita tidak sedar kita semakin mundur rohani, kolot akal. Apa lah namanya kemodenan seandainya anak-anak cucu kita nanti, belum umur 10 tahun sudah meninggal akibat sesak nafas. Jangan satu hari nanti oksigen akan menjadi komoditi berharga yang diperdagangkan, sepertimana yang hampir berlaku kepada sumber air sekarang. Nauzubillah, semoga dijauhkan Allah. Bagi saya sendiri, saya tersangat sayangkan negara ini dan saya sanggup negara ini tidak menjadi negara maju asalkan anak-anak cucu saya masih mampu hidup dan bernafas dengan aman dan tenteram di bumi bertuah ini. 

Nota hujung jari:
Hujung minggu hadapan sahaja saya menerima 4 jemputan open house pada hari Sabtu, membuntal lah jawabnya saya nanti.