Nuffnang

Thursday, July 5, 2012

Wanita dan Haid

Kita sebagai perempuan ni sudah termaktub banyak discharge nya. Tiap2 bulan perempuan mengeluarkan darah haid, apabila bersalin perempuan mengeluarkan darah nifas, apabila berjimak pula perempuan mengeluarkan air mazi. Itu belum lagi campur dengan keputihan la,cairan faraj la dan macam-macam cairan lagi yang dikeluarkan oleh seorang perempuan.

Discharge yang dikeluarkan perempuan ni kotor dan sesetengahnya najis. Jadi kita sebagai perempuan haruslah menjaga kebersihan, jangan jadi pemalas dan pengotor. Umum mengetahui jin kafir dan syaitan sukakan benda-benda kotor dan najis. Jadi kalau datang haid tu jangan lah buang pad atau pakaian yang terkena darah tu merata-rata. Sila basuh dulu lepas tu bungkus sebelum buang. Selain mengelakkan gangguan jin dan syaitan, pad yang penuh darah juga mengeluarkan bau yang sangat busuk ok kalau dibuang begitu saja!

Dulu saya pernah mengikuti perkhemahan di dalam hutan. Kami telah diberitahu bahawa tempat tersebut agak 'keras' kerana di dalam hutan tersebut terdapat satu tanah perkuburan lama yang sentiasa bersih terjaga sedangkan memang tiada manusia yang menjaganya. Kebetulan terdapat beberapa orang, termasuk juga saya yang sedang haid. Berulang kali instructors kami berpesan agar sentiasa menjaga kebersihan diri dan juga kebersihan kawasan tersebut agar tiada perkara yang tidak diigini berlaku.

Tetapi malangnya ada di kalangan peserta perempuan yang tidak berhati-hati dan membuang pad yang masih dipenuhi darah begitu saja. Malam itu tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi orang menjerit dan menangis, gadis tersebut diserang histeria!

Jadi kaum perempuan sekalian, tolonglah jaga kebersihan. Kalau dah heavy period tu tukar pad dengan kerap dan basuh pad sebersih-bersihnya sebelum dibuang!

Wednesday, July 4, 2012

Hikmah

Saya percaya setiap perkara yang berlaku ada sebab dan musababnya. Mungkin pada ketika ianya berlaku kita merasakan seolah-olah itulah perkara terburuk dalam kehidupan kita dan dunia menjadi gelap gelita tetapi saya percaya bahawa Allah tidak akan membenarkan sesuatu perkara itu terjadi tanpa sebarang hikmah dan pengajaran. Mungkin kita tidak nampak hikmahnya di saat ianya terjadi atau mungkin kita tidak sedar bahawa terdapat keindahan di sebalik kekecewaan itu tetapi qada' dan qadar Allah itu sendiri adalah satu keajaiban yang kadang kala tidak terfikir oleh akal kita. Tetapi saya yakin seandainya kita mengambil beberapa saat untuk merenung dan bermuhasabah, kita akan dapat menemui keindahan itu.

Ketika saya ditimpa kemalangan dan kaki saya patah, semua orang berkata kepada saya bersabarlah dan jangan patah semangat. Semua orang menyangkakan yang saya marah, gentar dan kecewa dengan apa yang berlaku. Tetapi hakikatnya saya tidak berasa terlalu kecewa, saya tidak marah, saya tidak gentar. Gusar? Bohonglah jika saya katakan saya tidak gusar dan bimbang memandangkan saya telah meletakkan jawatan dan sepatutnya mula bekerja di tempat baru sebulan saja lagi tetapi tidaklah keterlaluan. Kerana saya yakin, Allah mengatakan Kun Fa Yakun, membenarkan kemalangan yang berlaku kerana ada keindagan yang akan Dia berikan. Saya yakin yang Allah tidak akan menduga hambaNya dengan dugaan yang tidak mampu dipikul oleh hambaNya. Sepanjang saya berada di hospital,apabila ada sedih yang datang, saya cuba buang jauh-jauh kerana jauh di sudut hati saya, saya dapat merasakan yang Allah sedang menunjukkan sesuatu, yang Allah sedang memberikan saya keindahan.

Dan sesungguhnya perasaan saya itu benar. Selama ini saya bersungut dan merungut mengenai betapa tertekannya saya di tempat kerja, betapa saya dipandang sebelah mata dan tidak dihargai dalam kerjaya saya, betapa penatnya saya apabila majikan sentiasa meminta sesuatu yang lebih dan diluar kemampuan kemanusiaan saya tetapi tidak sanggup untuk memberikan sedikit pengiktirafan atau penghargaan hatta dalam bentuk cuti ihsan sekalipun. Saya sentiasa bising mengenai kepenatan saya, kelelahan saya dan betapa saya perlu untuk merehatkan otak dan perasaan. Dan saya sentiasa terfikir yang saya tidak mampu untuk terus bekerja sebaik sahaja tempoh notis saya tamat kerana saya telah 'burn out'. Nah! Saya kemalangan yang memerlukan saya berehat untuk 3 bulan! Dan kerana kemalangan itu jugalah saya berpeluang untuk memeluk anak saudara terbaru saya sebaik saja dia dilahirkan. Seandainya saya bekerja pada ketika ini, mungkin saya hanya berpeluang untuk memeluk dan mencium anak saudara terbaru saya apabila usianya sudah 2-3 bulan!

Tempoh rehat ini juga membolehkan saya menyusun kembali jadual kerja sampingan saya yang sudah caca marba kerana dihambat kesibukan, membolehkan saya membina kembali kepercayaan klien-klien saya. Juga membolehkan saya menyiapkan beberapa tugas peribadi yang dimanahkan kepada saya yang sudah berbulan-bulan tertangguh. Keterbatasan pergerakan ini juga membuatkan saya kembali menulis di alam maya untuk mengisi kelapangan masa dan mengelak kebosanan. Ia juga membolehkan saya kembali menikmati hobi masa lapang saya yang sudah agak lama saya tinggalkan kerana tidak sempat untuk mencuri masa iaitu membaca. Nah! Bukankah itu semua keindahan namanya? Saya cuma perlukan sedikit masa untuk merenung dan bermuhasabah dan akhirnya saya fahami di manakah keindahan di sebalik kemalangan yang saya alami! Alhamdulillah! 

Nota hujung jari:
Kemalangan ini juga mengingatkan saya kembali kenapa saya jatuh cinta kepada suami saya dulu dan betapa saya masih menyintainya. :)

Tuesday, July 3, 2012

Kisah Pengemis Tua

Percaya tak jika saya katakan setiap orang yang anda temui dalam hidup ini mengajar anda sesuatu tentang hidup? Allah telah menemukan anda dengan setiap orang yang anda temui agar anda belajar sesuatu untuk menjadi seorang insan yang lebih baik hatta seorang pengemis di tepi jalan sekalipun.

Saya masih ingat sewaktu saya bekerja di firma guaman di sekitar Pertama Complex, terdapat seorang pengemis tua yang sentiasa berlegar-legar di sekitar itu. Setiap hari saya melepasi pengemis tua itu dan memberikannya sedikit wang dan selepas itu berlalu pergi. Suatu hari saya tergerak hati untuk berbual-bual dengannya. Dia menceritakan serba sedikit kisah hidupnya.

Air matanya bergenang apabila dia bercerita tentang isterinya. Terlihat jelas di matanya kasih sayangnya yang tidak berbelah bagi terhadap isterinya. Saya cuba mengorek kisah anak-anaknya tetapi tidak mendapat sebarang jawapan, tidak pasti sama ada dia tidak memiliki anak ataupun anak-anaknya tidak mempedulikannya. Apabila saya bertanya ke mana dia menghilang setelah dua tiga hari saya tidak nampak kelibatnya, dia mengatakan dia sakit buah pinggang (jika tak silap saya), diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan dimasukkan ke hospital. Di akhir perbualan saya menghulurkan beberapa ringgit, dia mengucapkan terima kasih dgn air mata sedikit berlinang. Ketika itu hati saya terdetik yang terima kasih yang diucapkan itu bukanlah untuk wang saya hulurkan tetapi lebih kepada untuk masa yang saya luangkan bagi mendengar kisahnya.

Dan saat itu saya tersedar yang setiap orang mempunyai kisah. Kita cuma perlu mengambil beberapa saat dari masa kita untuk mendengar kisah mereka, kisah yang memberikan seribu satu pengajaran. Kisah pengemis tua itu mengajar saya erti kasih sayang, erti hormat. Sekiranya pengemis tua itu memiliki anak, saya berharap agar anaknya sedar dan membawa pengemis tua tersebut pulang untuk dijaga sebaik mungkin. Tetapi seandainya dia tidak memiliki anak, saya berharap agar seseorang berhenti seketika untuk mendengar kisahnya. 

Monday, July 2, 2012

PTPTN aka PTPEntipu

Surat ni mula-mula aku cadang nak hantar kat PTPTN tapi last-last aku publish kat FB aku je. Sempena isu PTPTN yang ditimbulkan baru-baru ni, aku publishkan balik surat ni kat sini. Saja je nak jentik angin sikit.

Dear PTPTN,

Re: The Definition of Word "Appeal" or "Rayuan"

It come to a great surprise to me to know that your officers do not have a clue as to the meaning of "appeal" or "rayuan". Don't worry, I truly understand. It must be our education system in Malaysia. I think the government should start revising the education system, there must be something wrong with the education system being implemented in Malaysia because the definition of word 'appeal' or 'rayuan' has been missing from its syllabus.

As a responsible Malaysian citizen, I would like to direct you to a language monitoring agency established by our government to assist people who have been a victim of our education system and failed to learn the meaning of Malay or English words properly like your officers, namely Dewan Bahasa dan Pustaka. For your information, they have published numerous dictionaries, which will be a great assistance to your officers in discharging their duties. These dictionaries have been published in numerous other languages, not only English and Malay. You can buy these dictionaries from any bookshop in Malaysia or you can order from Dewan Bahasa dan Pustaka directly. Trust me, they worth every sen you spent.

In the event you do not have enough capital to invest in these dictionaries, fret not because they also have free online dictionaries at their official website; www.dbp.gov.my.You don't have to pay a single sen and furthermore, they also offer free consultancy service in case your officers have problems in defining or interpreting any other words, either in Malay or in English. If you like to download a free dictionary software, you can also do so for free by searching a website, www.download.com. You may find and choose all sorts of dictionaries there.

I hope I have been of assistance to you. Please contact me if you need further clarification or guidance on how to use the free online dictionaries. I may slot some times to come over to your place and conduct a free training session for your officers.

Thank you.


Cerita selanjutnya:

Aku tak sokong pendidikan percuma tapi aku cukup bengang bila staf2 PTPentipu ni ramai yang kurang ajar, masa aku abis belajar dulu n tgh buat chambering, aku dapat penangguhan konon-kononnya selama 2 tahun. Dalam surat yg diorang hantar diorang ckp permohonan aku utk penangguhan telah diluluskan.Takde kat mana-mana pun diorang explain penangguhan dlm definisi diorang tu macam mana. Lepas 2 tahun aku dapat surat tuntut hutang drp diorang, instead of aku kena bayar 200+ sebulan mcm dlm agreement dulu tup2 dah jadi dekat 400. Rupa-rupanya bukannya penangguhan yang diorang bagi tapi diorang potong 2 tahun dr tempoh bayaran yakni menjadikan tempoh bayaran makin pendek dan jumlah bayaran bulanan makin banyak! Since aku baru setahun kerja time tu n gaji tak sampai 2k pon, aku hantar email pd customer service diorang mintak utk bayar 150 sebulan sbb gaji lepas tolak sewa tolak bil semua mmg cun-cun je cukup makan. Aku dpt reply yg sangat kurang ajar dr staf diorang, takde mukadimah takde apa cuma ckp kalau cik tak bayar bulanan mengikut jumlah dalam surat, kami akan mintak cik bayar jumlah keseluruhan sekaligus. Mmg macam cilaka! Aku sakit ati aku hantar surat kat semua ahli lembaga pengarah diorang, attachkan email kurang ajar tu. Aku cakap kalau mcm ni sikap staf PTPentipu yang gila kuasa dan tak boleh bertolak ansur, mmg patut la takde orang nak bayar. Aku pon malas bayar kalau mcm tu. N semestinya lah kan, aku tak dpt reply daripada diorang hatta ucapan maaf dan pernyataan yang permohonan aku akan dipertimbangkan pon.

Lepas bertahun-tahun bila aku berduit sikit, aku mula bayar PTPentipu. Yg lagi cilakanya, bila aku start bayar nama aku kena blacklist pulak sedangkan sebelum tu aku tak bayar satu sen pon aku tak kena blacklist. And lagi aku tak puas hati bila diorang tak dpt trace duit yang aku dh bayar hampir 1k lebih. Dah la bayar setiap bulan pon mcm tak bergerak je baki tunggakan sbb bayaran tu hampir separuh adalah utk interest. Cam siyal!

Nota jari hantu:
Aku mmg bengang dgn PTPentipu tapi aku tak menyokong PTPentipu dimansuhkan sebaliknya aku nak PTPentipu kembali kepada sejarah asal ianya ditubuhkan. Ianya ditubuhkan untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan, jadi jangan ada sistem kroni, jgn bagi kat orang yg layak. Ni tak, yg terlebih layak pun dapat 'bantuan' apa kejadahnya? Macam mana duit nak cukup untuk rolling kalau dah anak-anak menteri yg dapat 'bantuan' tak payah bayar balik pon. Kalau ditolak wang diberikan kepada pelajar-pelajar yang terlebih berkemampuan tu, bukankah akan ada lebihan wang untuk membantu para pelajar yang memerlukan? Dan semestinya apabila dah dinamakan bantuan, biarlah benar-benar membantu dan jgn cekik darah rakyat yang baru nak belajar hidup. Kalau orang tu miskin dan mungkin ada adik beradik yang ramai dan masa belajar pun dia tak berkemampuan, bukankah lebih baik bila dia habis belajar wang gaji dia tu boleh digunakan untuk membantu  adik beradiknya menyambung pelajaran dan ibu bapanya yang dah bertungkus lumus membesarkannya instead of kena bayar interest yang lebih daripada pinjam duit drp lintah darah tu? Hakikatnya, aku pernah mengira berdasarkan penyata yang aku dapat dan aku dapati instead of dikenakan per annum interest, rupa-rupanya aku dikenakan per month interest yang menjadikannya lebih daripada 4% per annum!



Sunday, July 1, 2012

Idola

Kadang-kadang dalam hidup ni kita tak perlu memandang jauh untuk mencari seseorang yang boleh dijadikan idola. Ya, ramai orang terkenal yang boleh dijadikan idola tetapi percaya tak kalau saya katakan kebanyakan masanya, orang yang dekat dengan kita itu lah yang lebih layak dijadikan idola dan dikagumi. Kenapa? Kerana kita melihat perjuangan mereka, kita merasai jatuh bangun mereka, jadi kita lebih dekat dengan mereka dan kehidupan mereka lebih mengesankan untuk kita contohi.

Dalam kehidupan seharian saya, saya bertemu dengan ramai orang. Dan saya rasa setiap daripada mereka mempunyai sekurang-kurangnya satu keistimewaan yang boleh saya kagumi. Makin lama saya mengenali mereka, makin kagum saya dengan mereka. Kadang-kadang hati saya terdetik, "kalaulah saya miliki separuh daripada kekuatan dan kecekalan mereka."

Ibu saya adalah idola saya yang teratas. Saya mengagumi kesabaran, kecekalan dan kasih sayang yang ibu saya miliki. Bukannya mudah membesarkan 9 orang anak, kebanyakan masanya berseorangan kerana ayah saya sangat sibuk bekerja. Apabila ayah saya berkahwin seorang lagi, ibu saya kecewa. Tetapi ibu saya tidak menjadikan kekecewaan itu satu penyebab untuk memusnahkan keluarga. Ibu saya terima seadanya, bersabar dan cekal mengharungi hakikat yang dia berkongsi kasih. Dan sekarang saya boleh berbangga dengan hakikat yang saya mempunyai dua orang ibu yang sangat-sangat istimewa dalam hati saya. Setiap seorang daripadanya memiliki keistimewaan sendiri. Ibu tiri saya tidak pernah cuba mengambil alih peranan ibu saya, tidak cuba menjadi yang pertama tetapi masing-masing menghormati dan memiliki peranan tersendiri. Mungkin kadang-kadang ada perasaan cemburu timbul di hati masing-masing tetapi itu adat berkongsi kasih dan setakat ini mereka mampu mengatasinya.

Sewaktu nenek saya iaitu ibu kepada ayah saya terlantar sakit, ibu saya menjaga nenek saya, kebanyakan masanya seorang diri. Sesuatu yang amat sukar kerana pada masa itu adik-adik saya masih kecil dan bukannya mudah untuk menjaga seorang tua yang terlantar dan beremosi! Saya tidak tahu sama ada saya mampu melakukannya seandainya saya berada di tempat ibu saya.

Kini bila kaki saya patah, ibu saya jugalah yang menjaga saya. Beliau menyiapkan makan minum saya, air mandi saya, ubat-ubatan saya dan sebagainya. Meskipun sebelum ini sewaktu di hospital suami saya melakukan tugas yang cemerlang menjaga saya, ibu saya menawarkan diri untuk mengambil alih tugas tersebut apabila saya dibenarkan pulang kerana suami saya perlu bekerja. Juga bukanlah satu tugas yang mudah  kerana beliau juga harus menjaga anak saudara saya yang berusia satu tahun dan ditambah pula dengan adik ipar saya yang baru bersalin dan sedang berpantang.

Ayah saya juga tidak kurang hebatnya. Mencari rezeki untuk membesarkan 10 orang anak dan seorang anak tiri tanpa mengenal penat lelah. Ayah saya pernah berkata, untuk memberikan harta kepada semua anaknya beliau tidak mampu, apa yang mampu beliau lakukan ialah memberikan pendidikan setinggi yang mungkin kepada anak-anaknya. Kerana itulah ibu bapa saya sanggup bergolok bergadai demi memastikan anak-anaknya menerima pendidikan yang sewajarnya. Dan saya tahu hati mereka remuk apabila ada di antara adik-adik saya yang seolah-olah tidak menghargai peluang yang diberikan dan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk meraih kejayaan akademik.

Bagi saya ibu bapa saya adalah idola saya yang paling hebat. Saya tidak pasti seandainya saya mampu menjadi seperti mereka. Saya amat berharap agar saya mampu menjadi seorang yang sabar seperti ibu saya menangani karenah seandainya ditakdirkan satu hari nanti mereka terlantar sakit.  Saya bersyukur seandainya saya memiliki walau separuh pun kesabaran, kecekalan dan kasih sayang yang mereka miliki.