Kadang-kadang Allah berikan kita kawan-kawan yang bertegas dengan kita, yang seolah-olah suka membuli kita kerana Allah mahukan kita menjadi lebih kuat, lebih percaya kepada diri sendiri. Kadang-kadang Allah juga mengubah sahabat yang paling rapat dengan kita itu menjadi musuh kita kerana Allah mahukan kita mengetahui bahawa hati budi manusia ini tidak boleh kita duga, tidak boleh kita terlalu percaya. Kadang-kadang juga Allah boleh jadikan rakan yang baru kita kenali sebagai sahabat kita yang paling rapat kerana kerana Allah mahu beri kita seseorang yang boleh kita kongsi suka duka, selain daripada pasangan hidup kita.
Hakikatnya, hanya Dia yang mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Dan persahabatan itu umpama percintaan, bukan hanya perlu berlandaskan kasih sayang, tetapi perlu juga saling menghormati, saling membantu dan saling menyokong antara satu sama lain serta komunikasi yang berlandaskan kepercayaan, tolak ansur dan mutual respect. Persahabatan itu juga adalah satu komitmen yang perlu dipenuhi dan komitmen itu bukan hanya perlu diberikan oleh satu pihak, ia memerlukan usaha kedua-dua belah pihak, jika tidak ia tidak akan berjaya. Resepi kejayaan sesebuah persahabatan itu adalah sama seperti resepi kejayaan sesebuah perkahwinan.
Sebetulnya, resepi kejayaan kesemua bentuk perhubungan adalah sama. Baik percintaan, perkahwinan, persabatan mahupun perniagaan. Jika tiada salah satu ramuan kejayaan ini, kemungkinan besar perhubungan itu akan pincang. Namun, jangan sampai tiada langsung rasa sayang, hormat dan percaya kepada diri sendiri. Seandainya dalam sesuatu perhubungan itu pihak yang satu lagi membuatkan anda hilang kepercayaan dan keyakinan serta sayang dan hormat pada diri sendiri, maka mereka bukanlah yang terbaik untuk anda. Jadi, perlulah ada keseimbangan dalam setiap perhubungan yang melibatkan kita, itu yang paling utama.
No comments:
Post a Comment