Nuffnang

Friday, April 19, 2013

Mencari Bahagia

Susah nak cari bahagia itu sebetulnya. Seringkali kita merasakan ketidakcukupan dalam setiap keinginan kita. Kita keliru dengan apa yang kita perlu dan apa yang kita mahu. Garis pemisah di antara kedua-duanya sangat flimsy. Kadang-kadang, kita sendiri keliru bahagia itu apa sebenarnya, bagaimana bentuknya. Dan bila itu terjadi, kita seringkali meletakkan bahagia itu pada ukuran  berdasarkan apa yang kita rasakan membuatkan orang lain bahagia. Sedangkan bahagia itu bukannya satu yang uniform, bukan boleh dipinjam-pinjam, dibahagi-bahagi.

Dan kita semakin keliru apabila keinginan kita yang selama ini kita dambakan, bila kita perolehi, kita dapati ianya tidaklah membahagiakan seperti yang kita jangkakan. Lalu kita mempersoalkan kenapa Allah tidak bersikap adil dalam pengagihan bahagia. Kenapa kita masih rasa kosong, masih rasa hampa meskipun apa yang kita dambakan selama ini telah dikurniakan-Nya. Maka kita pun merungut melolong, kononnya indah khabar daripada rupa. Tapi kita lupa bahawa khabar itulah yang kita damba-dambakan selama ini.

Kadang-kadang juga kita tahu sesuatu perbuatan atau tindakan itu akan menambahkan lagi guilty conscience kita, tapi kita tetap melakukannya kerana kita rasa ia membahagiakan. Maka kita berterus-terusan terbohong oleh ilusi kebahagiaan, sedangkan kita sedar, itu bukan bahagia, bukan satu firdausi yang kita sangkakan tapi sebaliknya hanyalah strategi pemasaran syaitan dan iblis yang melapisi hakikat kedurjanaan dengan fantasi yang indah-indah, dan si tongong kita ini, terus melompat terjun kerana refleksi fatamorgana bahagia yang dipaparkan syaitan dan iblis ini, sedangkan hakikatnya kita bukan terjun ke dalam kolam syurgawi tetapi gaung kemusnahan dan kedurjanaan. Berterusanlah kita dimomokkan dengan dosa-dosa dan guilty conscience yang tidak berkesudahan.

Jangan, jangan sesekali meletakkan diri kita dalam baju orang lain apabila mencari bahagia. Jangan sesekali menempatkan diri kita dalam fatamorgana firdausi yang dicipta nafsu syaitan. Kerana bahagia itu telah termaktub istimewa sifatnya, berbeza datangnya untuk setiap manusia, unik nikmat rasanya untuk setiap kita. Lalu perlu apa lagi kita membandingkan bahagia kita dengan bahagia orang lain?